Nasionalpilihan

Perjuangan Mohamad Ali wajar jadi pilihan MKT

Kenapa perwakilan UMNO perlu pilih Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sebagai calon No. 70 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti bagi penggal 2023-2026 esok (Sabtu)?

Ini harus dilihat ketokohan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka sewaktu Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila kita hilang kuasa memerintah negara yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Kekalahan itu turut menyaksikan ramai dalam kalangan pemimpin UMNO hilang arah ekoran kekalahan yang tidak disangka apa lagi wang UMNO pula dibekukan dan pelbagai masalah yang timbul hingga rakyat hilang kepercayaan terhadap parti keramat itu.

Mohamad Ali Mohamad menyerahkan barangan keperluan asas sewaktu PKP.

Mohamad Ali ketika itu hanyalah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan tidak memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebaliknya ketika itu beliau hanyalah sebagai ahli perniagaan.

Walaupun BN dan UMNO kalah namun beliau merupakan pendukung utama parti terutama sepanjang tempoh 22 bulan PH memerintah. Beliau mengambil tanggungjawab memperkukuhkan ahli akar umbi di Tangga Batu walaupun tanpa bantuan kewangan dari Pusat.

Rumahnya dijadikan markas tempat rujukan dan bergantung harap dalam kalangan ahli parti yang kehilangan pekerjaan ketika parti dalam keadaan rapuh selepas tumbang pada PRU14.

Susulan kekalahan BN dan UMNO, Mohamad Ali telah menubuhkan Sekretariat Himpunan Ummah Melaka dalam usaha untuk menyatupadukan masyarakat Islam apabila menjalin hubungan dengan Pas.

Hasil daripada penyatuan ummah yang dipeloporinya akhirnya tertubuhlah Muafakat Ummah yang dipengerusikan oleh beliau bersama bekas Pesuruhjaya Pas Melaka sebagai Timbalan Pengerusi, Datuk Kamaruddin Sidek.

Mohamad Ali Mohamad seorang tokoh yang memperjuangkan hak rakyat jika ditindas.

Beliau menjadi pendukung utama menentang PH sewaktu memerintah apabila kerajaan itu cuba memperjuangkan ICERD, LGBT dan penghinaan Nabi Muhammad s.a.w.

Puluhan ribu umat Islam di Melaka berkumpul mengadakan perarakan di Dataran UTC bagi menentang sekeras-kerasnya ICERD, LGT dan penghinaan Nabi Muhammad s.a.w ini semua ada hasil daripada idea dan cetusan Mohamad Ali.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara ekoran penularan pandemik Covid-19, Mohamad Ali mengeluarkan wang sakunya untuk membantu penduduk di Parlimen Tangga Batu.

Beliau menjadikan rumahnya di Baitul Tariq, Klebang Permai untuk membeli pelbagai kit makanan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, gula, tepung dan sebagainya untuk diberikan kepada penduduk B40 yang hilang pekerjaan sewaktu PKP.

Tidak itu sahaja malah beliau turut menjadikan rumahnya untuk memasak makan tengah hari yang kemudiannya diagih-agihkan kepada keluarga yang terkesan akibat PKP di setiap pelosok Tangga Batu.

Masyarakat di Tangga Batu seharusnya mengakui sikap murah hati Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu menyantuni penduduk di Parlimen Tangga Batu walaupun beliau bukan bergelar Yang Berhormat.

Tidak hairanlah hasratnya menawarkan diri bertanding jawatan ahli MKT UMNO pada pemilihan parti esok (Sabtu) adalah tepat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat memandangkan ketika ini di peringkat pusat telah melalui banyak perkara di mana segelintir pemimpin UMNO juga tidak menghormati institusi presiden.

Beliau juga berhasrat untuk membantu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan menerusi komposisi MKT.

“Saya mahu memastikan UMNO terus kukuh dan dapat diterima semula sebagai parti besar dan kuat di negara ini.

“Ramai rakan di seluruh negara meminta saya menawarkan diri dan saya sahut cabaran itu kerana prinsip, kelantangan dan saya pemimpin yang tidak mudah dibeli serta diperkotak-katikkan,” katanya baru-baru ini.

Berbekalkan segala kelebihan itu dan prestasi terkini, mengapa tidak para perwakilan di seluruh negara memberi ruang dan peluang kepada Mohamad Ali untuk dalam saf MKT untuk beliau menyumbang di peringkat pusat.

Untuk memperkukuhkan UMNO khususnya untuk mengembalikan martabat parti agar diterima rakyat semula khususnya bagi menghadapi PRU16, Mohamad Ali adalah pemimpin yang memenuhi kriteria tersebut kerana kesetiaannya kepada parti sejak dulu hingga kini. – SM

(Visited 244 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button