NasionalNegeri

Raja Muda berkenan ketuai “Kayuhan Cakna Merdeka” di Klonghae, Hatyai

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai program berbasikal ‘Kayuhan Cakna Merdeka’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-65 sejauh 20 kilometer di sekitar Klonghae, Hatyaio, Thailand, semalam.

Seramai 65 peserta sebagai simbolik 65 tahun kemerdekaan negara termasuk Baginda terdiri dari ketua-ketua agensi negeri dan juga Persekutuan serta swasta Perlis.

Kayuhan bermula dan berakhir di Pasar Terapung Klonghae yang terkenal di kalangan pelancong Malaysia sebagai destinasi popular apabila ke negara tersebut.

Ini merupakan kali ke lima program yang sama dianjurkan di mana di Satun (2015), Pak Bara (2017), Songkhla (2018) dan Chenak (2019).

Tiada kayuhan di Thailand sempena Hari Kebangsaan pada tahun 2020 dan 2021 kerana penularan Covid-19 dan sempadan negara ditutup.

Sementara itu mengiringi keberangkatan Baginda, Datuk Bandar Klonghae, Sunti Hemmun, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Rizuan Abd Yazid dan mantan Timbalan Ketua Polis DiRaja Thailand bagi Region 9, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan.

Laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali diketuai oleh Mohd Rizuan dan disahut oleh para peserta berkumandang dengan penuh bersemangat dalam program yang dianjurkan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ini.

Raja Muda dan para peserta juga singgah melawat Tessaban 1 Klong Hae Atchariya School yang disambut Pengetuanya, Banhan Jitwang serta 800 pelajarnya.

Juga diadakan lawatan ke Rumah Kraf Kampung yang membuat sangkar burung di Nongsai di mana Pengurusnya Yud Bilkordem membuat demonstrasi.

Dua persinggahan terakhir ialah di pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla untuk bertemu dengan Yang DiPertua serta ahli-ahli Majlis dan juga pejabat Datuk Bandar.

Raja Muda dalam titah, mengajak semua supaya berdoa ke hadrat Allah supaya rakyat dan negara Malaysia berada di bawah perlindunganNya dan diberi taufik serta hidayah olehNya di dalam menjalankan tugas-tugas dan kehidupan kita seharian. – SM

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button