fbpx
PRK

Sabah pastikan sumber semula jadi untuk sediakan pekerjaan

KERAJAAN negeri Sabah komited untuk memastikan sumber semula jadi negeri ini dimanfaat sepenuhnya bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata langkah itu adalah dengan menumpukan industri hiliran menerusi pembukaan kilang berasaskan sumber semula jadi antaranya minyak dan gas, kelapa sawit serta kayu balak.

Katanya, antara yang akan direalisasikan adalah pembukaan dua kilang mengeluarkan minyak masak pada tahun ini, masing-masing di Sandakan dan Tawau oleh dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sawit Kinabalu dan Benta Wawasan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga merancang membina sebuah kilang memproses gas di Kimanis atau Sipitang berasaskan sumber gas sedia ada di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) Kimanis.

“Dua kilang perabot juga akan dibina di Kimanis yang menjadi keutamaan kerajaan negeri selepas membuat keputusan tidak mengeksport kayu balak,” katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya Kimanis di Membakut di sini, hari ini.


Karnival sehari itu disertai 20 syarikat yang menyediakan 1,000 peluang pekerjaan.

Mohd Shafie berkata menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat berasaskan industri hiliran menjadi keutamaan selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Terdahulu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata bagi menyediakan sumber tenaga mahir, kementeriannya menerusi Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) merancang menambah kapasiti pelatih daripada 300 ke 600 orang di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP).

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga dalam perancangan untuk membina kampus baharu JPSM di Mesilou, Kundasang yang akan menawarkan program hospitaliti.

Turut dirancang adalah pembinaan kampus baharu di Pantai Timur iaitu di Sandakan dan Tawau selain pembinaan kampus satelit di Semporna, Keningau, Kota Marudu, Sipitang dan Kinabatangan, katanya.– BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button