PRK

PRK Slim: Pusat penamaan calon dibuka, semua patuh SOP

PUSAT penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Sri Tanjung  dibuka pada pukul 8 pagi tadi bagi proses penamaan calon.

Memetik laporan ASTRO AWANI, proses penamaan calon bermula sejam kemudian dengan bakal calon diberi tempoh satu jam iaitu dari pukul 9 sehingga 10 pagi tadi untuk mengemukakan borang pencalonan.

GAMBAR HARIAN METRO

Bagaimanapun hanya calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka dibenarkan masuk ke dalam dewan utama bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan digunapakai dalam PRK terdahulu.

Selepas proses tersebut tamat pada pukul 10 pagi, Pegawai Pengurus PRK, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan nama calon yang layak bertanding selewat-lewatnya pada pukul 11 pagi.

Selepas PRK DUN Chini pada bulan lepas, PRK DUN Slim juga menyaksikan proses penamaan calon dan pengundian akan diadakan mengikut kebiasaan baharu.

Selain itu, mengikut SOP, penyokong parti dilarang berkumpul di dalam pusat penamaan calon dan perarakan atau perhimpunan tidak dibenarkan.

Khemah-khemah khas turut ditempatkan di sekitar pekarangan pusat penamaan calon dengan dibantu oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia sebagai langkah persediaan sekiranya terdapat calon, penyokong atau pencadang mempunyai tanda-tanda atau gejala Covid-19.

Untuk rekod, PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ramai mengatakan PRK ke-12 ini adalah  ‘ujian kedua’ buat kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak mula terbentuk pada Februari lalu.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Seramai 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK ini.

Daripada jumlah tersebut,  22,815 ialah pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara. – SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button