BeritaPolitik

‘Keangkuhan’ PH bawa padah

HAKIKATNYA ramai tidak menjangka Barisan Nasional (BN) mampu menang dengan majoriti agak besar di kerusi Parlimen Kimanis.

Ini berdasarkan perkiraan bahawa semangat berpolitik di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sering dilihat sebagai situasi berbeza.

Namun, keputusan dicatatkan calon BN, Datuk Mohamad Alamin yang mendapat 12,706 undi  mengalahkan calon parti gabungan PH, Datuk Karim Bujang dari Warisan (10,677 undi) memberi makna sebaliknya.

Secara tidak langsung, ini juga harus dilihat sebagai satu isyarat yang sangat jelas – bahawa pengundi di mana sahaja mereka berada tidak mahu lagi dijadikan ‘boneka’ orang politik.

Dalam bahasa mudah, mereka mahu orang atau parti politik yang dipilih mengotakan janji dibuat.

Masa depan rakyat harus diutamakan. Bukan ‘mengangkat’ diri sendiri dan meminta rakyat berterima kasih. Sedangkan hidup rakyat terus-terusan bergelut dengan desakan ekonomi.

Sekiranya gagal, tiada tolak-ansur. Hanya parti yang dapat melunaskan janji harus dipilih waima parti disingkirkan amat dekat di hati mereka.

Ketika ini sentimen terhadap PH amat tinggi. Buktinya, Kimanis adalah pilihan raya kecil kelima parti kerajaan itu kalah berturut-turut.

Pentadbiran PH menampakkan mereka ‘lebih percaya’ kepada orang luar dan mahu memberikan segala kenikmatan yang selama ini dirasai penduduk tempatan kepada kelompok itu.

Memetik kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga hari ini tidak ada secebis perancangan pembangunan untuk orang Sabah, untuk negeri Sabah dilaksanakan.

“Melainkan membuka pintu negeri di bawah bayu ini kepada warga asing,” katanya.

Sedarlah tiada penduduk pribumi di mana-mana negara pun yang mahukan bencana ini berlaku.

Cukuplah meletakkan soal politik mengatasi segala-galanya. Percayalah rakyat tidak akan ‘menghukum’ pihak yang berkuasa jika mereka benar-benar ikhlas mahu membantu, berusaha membina negara ini menjadi lebih baik.

Kepada pemimpin, buanglah sikap politik kampung. Dunia kini berubah. Pemikiran rakyat juga turut berubah. Cara berpolitik yang ‘mengula-gulakan’ rakyat sudah tidak lagi relevan.

Keangkuhan mereka apabila sering menganggap rakyat sebagai ‘bodoh’ wajar dihentikan segera.

Ingat, Malaysia kini adalah Malaysia Baharu!

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button