Nasional

Rumah kosong jadi ‘port’ dadah diserbu, 13 penagih ditahan

POLIS menahan 13 penagih dadah termasuk lima warga asing dalam serbuan ke sebuah rumah kosong yang dijadikan lokasi melepaskan gian di Pandan Indah, Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang.

“Operasi dilakukan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Ampang di lokasi sekitar Flat 610 Pandan Indah.

“Keseluruhan tangkapan adalah seramai 13 orang iaitu lapan warga tempatan dan 5 orang warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek warga tempatan melibatkan kes jenayah dan dadah.


Mohamad Farouk berkata, ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

“Ops Tapis Khas itu dijalankan setelah polis menerima maklumat daripada orang awam di mana penagih menjadikan rumah kosong sebagai ‘port’ menghisap dadah.

“Kami menyarankan orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras dadah khususnya di kawasan Ampang Jaya,” katanya.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 3 (1) APD 1983.

(Visited 45 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button