Nasional

Anwar sifatkan Vietnam sebagai rakan Malaysia paling akrab

HANOI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Vietnam sebagai rakan Malaysia yang paling akrab sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara lima dekad lepas.

Beliau berkata kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan dua hala yang amat baik dan Malaysia bersedia meningkatkan kerjasama serta hubungan istimewa sedia ada ke tahap lebih tinggi.

Anwar turut menzahirkan kekaguman beliau terhadap perjuangan Vietnam dan rakyatnya untuk pulih daripada kesusahan serta kesukaran yang dialami semasa pertempuran menentang penjajah.

“Berbekalkan kecekalan dan ketabahan di peringkat kepimpinan serta rakyat, anda berjaya mengecapi kejayaan besar dalam tempoh beberapa dekad sahaja yang sekali gus menjadikan Vietnam sebuah negara penting di ASEAN dan kini dikenali sebagai antara negara membangun paling berpotensi di dunia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh rakan sejawatnya Pham Minh Chinh di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Terdahulu, semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong, Anwar menzahirkan rasa gembira dengan kerjasama dua hala sedia ada dan berkata usaha akan dilakukan untuk mengukuhkan lagi hubungan itu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Nguyen Phu Trong sering berbicara soal antirasuah dan tatakelola yang baik di Vietnam dan kami dapat bertukar pandangan terkait perkara ini serta keperluan untuk agensi antirasuah kedua-dua negara bekerjasama dan mengadakan perkongsian bersama,” katanya lapor BERNAMA.

Sementara itu Anwar dalam hantar ke Facebook beliau berpuas hati dengan lawatan berkenaan kerana membuahkan hasil yang positif.
“Saya, Azizah dan delegasi Malaysia diraikan dalam majlis makan malam sempena lawatan rasmi ke Vietnam oleh Perdana Menteri TYT Pham Minh Chinh dan isteri,” katanya.
Dalam ucapan, beliau zahirkan penghargaan kerana lawatan pada kali ini membuahkan hasil yang positif.
“Semoga kerjasama antara Malaysia dan Vietnam ini dapat terus diperkukuh sekali gus membawa manfaat bersama kepada kedua-dua buah negara.
“Saya turut mendoakan agar PM Chinh dan keluarga diberi kesihatan yang baik,” katanya.
(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button