Nasional

Pembelian banglo Guan Eng: SPRM boleh siasat jika ada bukti baru

TIDAK ada halangan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula sisatan berhubung pembelian banglo oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, SPRM boleh melakukannya kerana agensi tersebut adalah badan penguatkuasaan yang bebas.

“SPRM adalah sebuah badan bebas dalam menjalankan penyiasatan terhadap kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Tiada halangan untuk membuka semula siasatan sekiranya terdapat fresh evidence (bukti baru) di dalam kes tersebut,” kata Takiyuddin.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk membuka semula siasatan kes rasuah yang melibatkan Guan Eng.

Menurut Takiyuddin, bekas peguam negara Tan Sri  Tommy Thomas pada awalnya telah memohon ke mahkamah untuk pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes berkenaan.

“DNAA bermaksud tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan dan bukan bermaksud pelepasan sepenuhnya.

“Namun demikian mahkamah setelah mendengar hujah pihak peguam negara terdapat new lead (petunjuk baru), mahkamah telah memberikan pelepasan sepenuhnya kepada tertuduh. Selepas itu peguam negara tidak lagi membuat apa-apa permohonan rayuan berhubung keputusan mahkamah,” katanya.

Pada 3 September 2018 Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Perbicaraan kes itu bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu pada 26 Mac 2018 dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan.-SM

 

(Visited 233 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button