Nasional

Junipah Tim. Ketua Pesuruhjaya SPRM Pengurusan, Profesionalisme baharu

DATUK Junipah Wandi dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, menggantikan Datuk Ja’afar Mahad yang bersara wajib berkuatkuasa 20 Jan.

Junipah, 51, sebelum ini adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM.

Ja’afar dalam ucapan di Majlis Paluan Berundur di sini berkata beliau berharap penggantinya akan meneruskan usaha untuk mendapatkan peruntukan pembangunan bagi pembinaan empat kompleks pejabat SPRM negeri yang belum memiliki bangunan sendiri iaitu di Sabah, Kedah, Perlis dan Labuan.

Majlis Paluan Berundur hari ini dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Latheefa Koya dalam sidang media selepas majlis itu berkata beliau akan memberikan kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujud komplot menyebarkan tohmahan terhadapnya dan suruhanjaya itu, sekiranya dipanggil untuk berbuat demikian.

“Mereka (polis) mungkin akan panggil saya, dan saya akan beri kerjasama,” kata beliau yang semasa merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Pegawai Khas Undang-undangnya Shasha Lyna di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Selasa lepas, berhubung dakwaan wujud komplot berkenaan.

Tohmahan itu didakwa wujud selepas sidang media SPRM pada 8 Jan lepas yang mendedahkan rakaman audio perbualan berkaitan kebocoran maklumat melibatkan beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami sangat gembira dengan kerjasama yang diberikan (polis),” tambahnya.

Semalam SPRM dalam kenyataan memberitahu satu pasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman berada kira-kira empat jam di ibu pejabat SPRM semalam bagi merakam kenyataan Latheefa dan beberapa yang lain berhubung pendedahan rakaman audio perbualan itu.- BERNAMA

(Visited 552 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button