Nasional

Ahmad Terrirudin peguam negara baharu

Ahmad Terrirudin Salleh dilantik sebagai peguam negara baharu berkuat kuasa 6 September ini. Beliau menggantikan Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini. Terrirudin adalah peguam cara negara ketika ini.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, berkata pelantikan Terrirudin adalah selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Idrus atas perkhidmatan beliau selama memegang jawatan sebagai peguam negara,” katanya dalam kenyataan.

Pada 25 Ogos lalu FMT melaporkan Terrirudin dikatakan menjadi pilihan utama bagi menggantikan Idrus yang kontraknya tamat bulan ini, menurut sumber.

Perkhidmatan Idrus dilanjutkan selama enam bulan selepas kontrak asalnya tamat Mac lalu, beliau dilantik pada 6 Mac 2020, menggantikan Tommy Thomas.

Terrirudin, 54, akan menjadi calon pertama daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak Abdul Gani Patail memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.

Sebelum dilantik sebagai peguam cara negara pada Mac tahun lalu, Terrirudin ialah ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan. – SM

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button