Nasional

5,793 kes baharu Covid-19 hari ini

KES baharu Covid-19 hari ini mencatat 5,793 dengan enam kes import, manakala kes sembuh baharu dilaporkan 8,334, memetik status terkini Covid-19 di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut laman sesawang itu, jumlah kes sembuh ialah 572,113 iaitu catatan 87.7 peratus. Jumlah kes aktif ialah 76,246 dengan jumlah kes ICU, 914 dan 459 memerlukan bantuan alat pernafasan. Kes kematian baharu, 76 dengan jumlah kes kematian secara keseluruhan hari ini, 3,844.

Dengan bersambungnya Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) wabak Covid-19 diharap dapat diturunkan jumlah kes.

Sementara itu, Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melalui kenyataan di laman sesawang hari ini memaklumkan, pada 18 Disember tahun lepas, The National Institute for Health and Care Excellence (NICE), United Kingdom telah mengeluarkan satu garis panduan mengenai Long COVID atau dikenali sebagai Sindrom Post Covid.

Sindrom ini merupakan suatu keadaan di mana bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.


“Keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.

“Secara amnya, data klinikal menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post COVID,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan, menurut kajian klinikal yang dijalankan oleh KKM melibatkan 1,004 pesakit dari kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan, didapati 66 peratus daripada pesakit ini mengalami Sindrom Post COVID.

Antara lima (5) simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit COVID-19 adalah kelesuan (fatigue), kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti (exertional dyspnea), sukar tidur malam (insomnia), batuk (cough) dan kegelisahan (anxiety).

“Sehingga kini, rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit (symptomatic relief) dan fungsi tubuh yang terlibat.

“Rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum.

“Kajian klinikal akan terus dijalankan bagi memahami dan mengenalpasti kesan Sindrom Post COVID dan ianya akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, pesakit-pesakit COVID-19 yang didiscaj dari hospital akan diberikan temujanji rawatan susulan dan mereka diingatkan untuk hadir mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” ujar kenyataan itu lagi.

Manakala bagi bekas pesakit Covid-19 yang masih mempunyai gejala, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

Ini penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit COVID-19 pada tahap terbaik dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang.

Oleh itu, adalah amat penting untuk menjaga diri kita dan ahli keluarga kita supaya kekal terlindung daripada bahaya COVID19 dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar dapat mengurangkan risiko dijangkiti penyakit COVID-19 yang serius, kata kenyataan itu. – SM

(Visited 17 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button