fbpx
Nasional

Risiko usahawan digital segera

Oleh Mohammad Firdaus bin Mohamad

Program Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang telah dilancarkan hujung tahun 2019 mengunjurkan bahawa akan ada satu tempoh dimana usahawan digital bakal memenuhi pasaran perniagaan di Malaysia.

Untuk rekod, pada tahun 2019, terdapat 156,000 peniaga digital dibawah program e-Usahawan (MDEC). Kini, kewujudan pelbagai platform pembelian secara maya di negara ini telah mengubah cara rakyat membeli-belah.

Ia juga memberi prospek cerah khususnya terhadap pembangunan dari segi ekonomi digital. Sudah tentu ini bukanlah sesuatu yang baharu.

Tetapi melihat kepada kebanjiran usahawan segera sepanjang krisis Covid19 ini, timbul pelbagai persoalan. Antaranya, apakah akan terjadi kepada mereka ini apabila Perintah KawalanPergerakan (PKP) ditamatkan kelak?


Harus diingat, sepertimana produk dan servis, usahawan juga punya jangka hayat tertentu. Kitaran hayat bagi usahawan boleh diringkaskan kepada 3 fasa.

Fasa pertama dipanggil fasa permulaan (biasanya 3 tahun)sebelum ia memasuki fasa kedua iaitu perkembangan dimana perniagaan akan mula memasuki fasa matang.

Disini usahawan sudah boleh selesa kerana perniagaan sudah mula stabil. Namun, pada fasa ini, penting bagi usahawan untuk mempunyai rancangan untuk kekal berdaya saing sebelum memasuki fasa ketiga iaitu menurun.

Disinilah usahawan perlu bertindak segera sebelum jatuh terduduk. Fasa ini akan menentukan sama ada usahawan berhenti berniaga sebelum terus rugi atau membuat pelan tindakan segera bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Justeru, kita bimbang kemunculan mendadak sebegitu ramai usahawan digital segera yang tidak terlatih ini boleh menyebabkan jangka hayat perniagaan digital menjadi pendek.

Ini kerana terlalu banyak saingan dan kewujudan platform yang tidak dikawal selia dari segi perlesenan, kesihatan, kebersihan dan peperangan harga. Ini akan menyebabkan ada usahawan digital segera ini akan tutup sebelum sempat berkembang.

Melihat kepada senario ini, penulis mencadangkan agar Kerajaan menyediakan platform yang boleh dipercayai bagi mengelak pasaran digital ini menjadi sekadar batu loncatan sementara untuk memperoleh pendapatan dengan cara segera (hit and run).

Contoh terdekat ialah aplikasi Agrobazaar milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) dan diuruskan oleh FAMA khas untuk para usahawan tani dibawah selian mereka.

Aplikasi sebegini adalah antara kaedah terbaik untuk usahawan digital mendaftar dan melaksanakan urusanperniagaan.

Kerajaan Australia juga telah mewujudkan satu portal perniagaan untuk mendaftarkan industri kecil dan sederhana mereka.

Mengikut statistik terbaru, portal tersebut sudah mencatatkan AUD$ 1.235 bilion kontrak jualan hasil daripada pasaran bisnes kepada pelanggan dan bisnes kepada bisnes.

Aplikasi dan platform yang terjamin dan tersusun sebegini akan membantu menyelia perniagaan usahawan digital disamping melindungi keselamatan maklumat kedua-dua usahawan dan pelanggan.

Kerajaan boleh melihat kepada kemunculan usahawan digital segera ini sebagai salah satu peluang dan kaedah untuk keberuntungan semua pihak.

Bukan sahaja ia boleh membantu menangani kadar pengganguran negara, meningkatkan pendapatan dan taraf serta kualiti hidup rakyat, malah ia juga berpotensi membantu memyumbang kepada ekonomi negara.

Mungkin ini juga adalah salah satu daripada aktiviti ekonomi yang bakal memainkan peranan terpenting dalam pembangunan ekonomi negara era pasca Covid19 nanti.

Tren kemunculan usahawan digital segera ini seharusnya digembleng potensinya semaksima mungkin agar tidak lagi menjadi satu lagi tren yang akhirnya sia-sia seperti cendawan beracun yang tumbuh selepas hujan.

PENULIS adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

Show More

Related Articles

Back to top button