fbpx
Nasional

Susun semula ekonomi agar bersifat kalis krisis -CEO Institut Masa

MEMPUNYAI ekonomi yang mampu kalis krisis adalah pelan utama yang perlu disediakan oleh kerajaan sekarang dalam memperkukuhkan negara untuk berhadapan keadaan yang tidak menentu akibat pendamik Covic-19 yang telah merebak ke seluruh dunia.

Perkara ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Masa Depan Malaysia, Mohd. Nizam Mahshar dalam satu Siri Wacana Masa Depan bertajuk Pemulihan Ekonomi Pasca-Covid-19 yang berlangsung secara dalam talian dan disiarkan secara langsung di laman Facebook Institut tersebut baru-baru ini.

Wacana yang dikendalikan moderator Sayed Munawar itu menampilkan dua ahli panel, iaitu Mohd. Nizam sendiri dan pakar ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.

Pelbagai perspektif pemulihan ekonomi dibincangkan selama dua jam wacana tersebut bersiaran dan ia berjaya menarik lebih 5,000 tontonan setakat hari ini.

Ujar Mohd. Nizam, proses pemulihan selepas reda impak wabak Covid-19 ini bukan sekadar untuk menjalankan semula ekonomi, sebaliknya untuk menyusun semula keutamaan ekonomi negara supaya ia lebih mampu beradaptasi dengan keperluan ekonomi masa hadapan dan lebih bersifat kalis krisis.


 Katanya, mengambil Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai kerangka yang perlu diguna pakai dalam pertimbangan proses pemulihan kelak, beliau melihat krisis yang berlaku pada hari ini adalah peluang terbaik untuk kita merealisasikan hasrat yang terkandung dalam wawasan tersebut.

 “Mahu tidak mahu, kita perlu akui kewujudan beberapa masalah dalam ekosistem ekonomi negara ini yang memerlukan pembetulan. Antaranya adalah penggunaan teknologi tinggi yang semakin merosot dalam perniagaan dan kebergantungan yang tinggi kepada pekerja berkemahiran rendah.

“Bukan sahaja kedua-dua perkara ini menyebabkan ekonomi kita menjadi rapuh apabila dihadapkan dengan kemungkinan-kemungkinan masa hadapan, malah ia menjejaskan keseluruhan ekosistem ekonomi apabila tiba waktu krisis.

Oleh itu, kedua-dua perkara ini menyebabkan tenaga kerja di negara ini menerima upah yang rendah dan menggalakkan kemasukan pekerja asing. Maka reformasi adalah sangat perlu dilakukan.


Selain itu Mohd. Nizam turut membangkitkan implikasi krisis yang berlaku kini kepada dua golongan yang paling terkesan teruk, iaitu golongan rentan ekonomi (berpendapatan rendah) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ujar beliau, bagi golongan rentan ekonomi yang pendapatannya sangat bergantung kepada gaji, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan kehidupan apabila ada antara mereka kehilangan mata pencarian dalam tempoh ini. Ia ditambah dengan lanjutan PKP yang kini sudah memasuki fasa kelima.

“Bagi PKS, ketika ini adalah waktu yang mencabar bagi perniagaan mereka, terutamanya bagi PKS kecil, mikro mahupun nano yang tidak mempunyai modal besar untuk bertahan. Implikasi kepada PKS telah cuba untuk diserap kerajaan melalui Pakej Prihatin Nasional yang ketiga, namun adakah ia mencukupi?

“Disebabkan kedua-dua golongan ini – PKS dan rentan ekonomi – meliputi jumlah yang sangat besar, implikasi kepada mereka akan turut memberi kesan kepada ekonomi negara secara keseluruhannya, kata Mohd Nizam.

Bagi Dr. Jomo pula, beliau lebih menekankan tentang keberkesanan kerajaan dalam menghadapi wabak. Melihat koordinasi yang agak longgar dalam kalangan pemimpin kerajaan, Dr. Jomo mengutarakan keperluan untuk sebuah pendekatan yang melibatkan keseluruhan kerajaan dan masyarakat.

Ujarnya, dalam hal ini, beliau menekankan kepentingan untuk semua anggota kerajaan bekerjasama secara optimum dalam mengendalikan wabak dan memulihkan negara selepas wabak. Malah lebih penting lagi, bagaimana kerajaan menuai kerjasama daripada rakyat supaya usaha pemulihan dapat dijalankan dengan lebih baik.

“Kita perlu terima realiti bahawa kita mungkin akan hidup bersama ancaman wabak ini dalam tempoh setahun atau lebih, maka rakyat perlu difahamkan sepenuhnya tentang sifat Covid-19 ini dan bagaimana cara terbaik untuk hidup bersamanya.

“Dalam hal ini, pendekatan bersifat arahan daripada kerajaan tanpa rasa empati yang mendalam tidak akan dapat memahamkan rakyat.

“Kita perlu ubah kebiasaan hidup dan rakyat perlu sedar bahawa penjagaan jarak sosial akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita sekarang.

“Ini kerana di beberapa negara yang sebelum ini sudah mengisytiharkan bebas daripada Covid-19 kini sedang bersedia untuk menerima gelombang yang kedua. Begitu juga, kita tidak akan dapat pastikan bahawa tidak ada wabak lain pula yang akan menyerang di kemudian hari,” kata Dr. Jomo.

Malah, penemuan vaksin suatu hari nanti juga belum menjamin kita akan bebas daripada wabak ini buat selama-lamanya kerana akses terhadap vaksin tersebut belum dapat dipastikan.

Seperkara lagi yang menjadi kerisauan bagi Dr. Jomo adalah kebanjiran pekerja asing dalam negara. Mengikut data, dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di Malaysia dan kira-kira 4.5 juta daripadanya adalah pekerja asing tanpa permit.

Menurut beliau lagi Malaysia perlu belajar daripada kegagalan Singapura mengawal penularan wabak dalam kalangan pekerja asing mereka, maka kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan golongan ini tidak menjadi kluster penular wabak yang baharu.

Malah Dr. Jomo turut memberi cadangan supaya kerajaan yang mungkin agak dilihat agak kontroversi iaitu menawarkan pemberian permit kerja selama setahun kepada pekerja asing tanpa permit asalkan mereka datang untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan mereka tidak membawa wabak dan menyebarkannya kepada orang lain. – SM

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button