Nasional

KJ bimbang masyarakat leka selepas diberi kelonggaran SOP

TINDAKAN masyarakat di Lembah Kelang yang leka ketika beriadah bersama keluarga di pusat membeli belah dan berkelah di taman rekreasi selepas diberikan kelonggaran mendatangkan kebimbangan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan sekiranya masyarakat gagal mematuhi prosedur operasi standard akan menyebabkan negara gagal memasuki fasa endemik pada akhir bulan depan.

“Namun untuk merealisasikan sasaran ini, ia memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk terus mematuhi SOP serta mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri.

“Jika perkara ini gagal untuk diamalkan dan dipatuhi, kebimbangan saya adalah kita tidak akan mampu beralih ke fasa endemik, sekaligus membantutkan usaha pemulihan negara oleh Kerajaan,” katanya.

Beliau memberikan ingatan itu selepas mendapati ramai penduduk di Lembah Kelang yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu baru-baru ini.

Mereka membawa keluarga, termasuk anak-anak kecil, ke pusat beli-belah dan juga berkelah di taman-taman rekreasi.

Khairy Jamaluddin berkata, beliau faham masyarakat teruja dengan kelonggaran Fasa 2 yang dinikmati ketika ini terutama setelah hampir tiga bulan berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

“Bagaimanapun, aktiviti-aktiviti seperti ini pasti menyebabkan berlakunya perkumpulan orang ramai dan pematuhan SOP yang rendah.

“Penting untuk saya ingatkan bahawa vaksinasi lengkap bukan alasan untuk kita leka dalam melakukan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

“Tindakan-tindakan ini kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi kita daripada jangkitan virus COVID-19,” kata Khairy Jamaluddin.

Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara berkuatkuasa pada 10 September lalu.

Antara kelonggaran yang dinikmati penduduk di negeri-negeri Fasa 2 PPN termasuklah kebenaran dine-in di premis kedai makan dan aktiviti pelancongan di dalam negeri yang sama bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan dan analisa yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), situasi penularan jangkitan COVID-19 di Lembah Klang mula menunjukkan trend penurunan.

Perkembangan positif itu akan membantu memastikan Pelan Pemulihan Negara berjalan lancar dan selamat.

Tambahnya, Kerajaan juga menyasarkan untuk negara beralih kepada fasa endemik pada akhir Oktober ini.

Bagaimanapun, kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik Covid-19 tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi Kerajaan.

Kejayaan tersebut juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.-SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button