EkonomiNasional

Pharmaniaga Berhad komited hasil dan bekal vaksin halal tangani isu sekuriti kesihatan

KUMPULAN Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) komited menghasil dan membekalkan vaksin yang berstatus halal untuk pelbagai jenis keperluan kesihatan bagi menjamin sekuriti kesihatan nasional dan serantau.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, syarikat itu sudah merancang mengeluarkan beberapa vaksin sejak 2017 menerusi jalinan kerjasama dengan beberapa rakan kongsi di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, Pharmaniaga menetapkan untuk menghasilkan vaksin halal bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi juga untuk dieksport ke negara serantau. Bagaimanapun ketika ini tumpuan adalah pengeluaran vaksin secara fill and finish vaksin Sinovac Covid-19 yang sangat diperlukan oleh negara.

“Kita perlu menghasilkan vaksin yang halal dan ia memerlukan tenaga pakar yang mahir dalam selok belok teknikalitinya.

“Sebenarnya kami di Pharmaniaga mempunyai 300 orang saintis yang betul-betul memahami dan juga pakar dalam bidang ubat-ubatan dan vaksin,” kata Zulkarnain ketika tampil sebagai tetamu dalam segmen penstriman secara langsung, KAPTEN INDUSTRI di studio SUARA MERDEKA, Shah Alam, Selangor, hari ini

Dalam kesempatan temubual KAPTEN INDUSTRI, Zulkarnain yang baharu setahun menerajui industri farmaseutikal turut menegaskan vaksin yang dihasilkan dengan pihak Sinovac dijamin halal.

“Ini kerana kita telah memperolehi laporan Majlis Ulama Indonesia telah melawat ke kilang vaksin Sinovac di China dan berada di sana selama hampir sebulan lebih untuk melihat proses pembuatan vaksin tersebut.

“Saya telah membaca laporan 300 muka surat tersebut. Kita telah meneliti, membuat kajian dan telah menghantar laporan kepada pihak JAKIM dan dalam proses permohonan halal.

“Jika Majlis Ulama Indonesia kata halal, kita tidak boleh cakap tidak halal sebab saya pernah ditanya oleh pihak Sinovac, adakah Islam di Malaysia berbeza dengan Islam di Indonesia.

“Jawapannya adalah sama tetapi kita mempunyai tatacara yang perlu dibuat melalui JAKIM. Jadi sebab itulah kita perlu membuat permohonan melalui JAKIM,” kata Zulkarnain dalam memberikan pencerahan mengenai vaksin Sinovac yang dihasilkan itu.

Tambah Zulkarnain lagi, pada masa yang sama Sinovac yang berpusat di Beijing, China yang membangunkan vaksin Covid-19 bersetuju menyambut seruan kerajaan untuk bekerjasama dengan Pharmaniaga menerusi perkongsian dan pemindahan teknologi kepakaran ke negara ini.

“Kilang vaksin kita di Puchong juga merupakan sebuah kilang bertaraf dunia dan memiliki piawaian yang diiktiraf Kesatuan Eropah (EU).

“Apabila sesuatu kilang mendapat pengiktirafan sehingga ke pihak standard EU, ini merupakan satu perkara yang bukan senang dapat dilaksanakan. Ia perlu mempunyai kepakaran, mempunyai standard spesifikasi yang tinggi,” ujar beliau. – SM

(Visited 361 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button