Nasionalpilihan

Sapiah Mohd Nor jadi Orang Asli pertama dilantik Ketua Pengarah JAKOA

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyaksikan sejarah baharu apabila Sapiah Mohd Nor menjadi wanita Orang Asli pertama memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelantikan itu berkuatkuasa pada esok.

“Pelantikan beliau diperkenan Yang Di-Pertuan Agong dan surat pelantikan beliau telah diserahkan oleh Perdana Menteri pada hari ini di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen.

“Pelantikan Sapiah telah mencipta sejarah negara tersendiri apabila beliau menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam.

“Pelantikan ini juga merupakan sejarah kepada JAKOA apabila dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Sapiah yang berusia 56 tahun merupakan Orang Asli keturunan Suku Semai yang berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti yang sama pada tahun 2001.

Beliau memulakan tugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada tahun 1991 dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun juga pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan.

Antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Utama dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sebelum di lantik menjadi Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada tahun 2003 sehingga kini. -SM

(Visited 914 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button