fbpx
Nasional

Simpanan panik boleh merencat pertumbuhan ekonomi

Oleh Herniza Roxanne Marcus

UMUM mengetahui keadaan ekonomi dunia masa kini agak meruncing berikutan penyebaran wabak Covid 19 yang semakin meluas. Malaysia tidak terkecuali.

Oleh itu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi.

Dari segi teori ekonomi, antara komponen aggregat permintaan yang boleh meningkatkan pendapatan negara adalah perbelanjaan, pelaburan, perbelanjaan Kerajaan dan juga eksport bersih.

Justeru, setakat ini, tiga pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan kerajaan.

Antara objektif utamanya ialah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mempunyai lebihan wang dalam tangan untuk digunakan agar ekonomi negara terus bergerak melalui perbelanjaan rakyat.

Walaubagaimanapun, pakej-pakej ransangan ini akan sia-sia jika rakyat membuat simpanan panik atau “panic saving”. Apakah itu simpanan panik?

Ia bermaksud rakyat kurang berbelanja atau tidak berbelanja langsung dengan menyimpan wang dalam skala yang besar.

Sebagai contoh, pemberian moratorium 6 bulan oleh Bank Negara Malaysia bertujuan untuk menggalakkan rakyat lebih berbelanja bagi memastikan kelangsungan ekonomi negara melalui aktiviti dan proses berterusan jual beli.

Jika tidak ada proses urusniaga di pasaran, ekonomi akan lumpuh, bisnes akan lingkup dan sukar untuk negara bangun semula.

BACA

Jika sebelum ini hutang rumah dan kenderaan seseorang rakyat berjumlah RM2,000, maka moratorium 6 bulan ini akan membenarkan seseorang mempunyai RM12,000 lebihan wang.

Bayangkan jika 100 orang rakyat Malaysia yang mendapat RM12,000 lebihan ini langsung tidak membelanjakan wang tersebut, ini bermakna RM1.2 juta wang akan ‘hilang’ daripada pasaran.

Tetapi, jika dilihat dari aspek lain, kita faham kenapa rakyat mahu menyimpan banyak wang pada masa ini. Antaranya, mereka mungkin takut kehilangan pekerjaan.

Jadi, boleh difahami apabila kecenderungan untuk menyimpan itu lebih besar berbanding membelanjakannya meskipun kuasa beli telah bertambah.

Walaubagaimanapun, jika ini dibiar berlaku secara berleluasa, maka aliran kewangan dalam ekonomi akan bocor’ (leakage/withdrawal) di mana wang yang berada dalam pasaran akan mengurang dengan begitu banyak sekali.

Kita andaikan aliran kewangan ini seperti sebuah belon yang berisi udara, apabila kita mencucuknya dengan jarum, udara dari dalam belon itu akan keluar dan belon akan menjadi semakin nipis dan terus kosong  

Belon akan rosak. Begitulah ibaratnya simpanan panik membocorkan aliran wang dalam negara. Sekarang, bayangkan pula jika kita semua melakukannya beramai-ramai.

Benar, menyimpan itu tidak salah, namun janganlah sampai kita langsung tidak berbelanja dan membiarkan lambakan produk di pasaran tidak bergerak (kerana tiada aktiviti jual beli).

Oleh itu, ambillah kesempatan untuk gunakan wang bantuan daripada kerajaan dan moratorium ini untuk berbelanja, tetapi berpada-pada. Simpan satu bahagian bagi tujuan kecemasan.

Hanya dengan cara ini kita dapat membantu negara untuk terus bergerak dan berjalan sehingga semuanya pulih seperti biasa kelak.

Sesungguhnya negara kini berada dalam keadaan yang memerlukan kita semua untuk membantu menggerakkan ekonomi. Jadi Berbelanjalah!

PENULIS adalah Pensyarah, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Ekonomi)UiTM Sabah

 

Show More

Related Articles

Back to top button