Nasional
Trending

Langkah pertama memulihkan Ekonomi Malaysia

Oleh Herniza Roxanne Marcus

Antara persoalan paling kritikal saat ini ialah sama ada Malaysia akan mengalami kegawatan ekonomi? Apakah langkah pertama memulihkan ekonomi?

Sebelum itu, kita semua perlu tahu apa itu sebenarnya kegawatan ekonomi atau kemelesetan ekonomiLiteralnya, kegawatan ekonomi merujuk kepada keadaan di mana aktiviti ekonomi merosot atau berkurang untuk satu tempoh beberapa bulan.

Dalam erti kata lain, perniagaan tidak bagus, pengeluaran kurang, syarikat terpaksa membuang pekerja untuk mengurangkan kos, pelabur kurang yakin, rumah banyak tidak terjual, orang kurang membeli dan pelbagai lagi.

Semuanya negatif. Namun, apa yang boleh diperkatakan disini ialah kita sudah pernahbeberapa kali mengalami kegawatan ekonomi.

Setiap kali juga kita berjaya bangkit kerana asas ekonomi negara masih kukuh, sektor-sektor pengeluaran dalam ekonomi masih berjalan dan premis perniagaan masih dibuka seperti biasa.

Melihat kepada krisis ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid19 ini, ahli ekonomi meramalkan negara yang paling cepat pulih terlebih dahulu akan sembuh keadaan ekonominya berbanding negara lain.

Tetapi masalahnya, katakanlah kalau hanya Malaysia sahaja yang sembuh, tetapi negara-negara jirannya tidak, keadaan akan menjadi sama juga, kerana tiada negara yang akan dapat berurusniaga dengan Malaysia kerana faktor ekonomi sekarang hampir sepenuhnya bergantung kepada wabak Covid-19 ini.

Lambat atau cepat

Justeru, kalau wabak Covid-19 ini lenyap, negara-negara di dunia akan pulih, cuma berbeza dari segi lambat atau cepat sahaja. Sebab itu pentingnya kita mendengar saranan kerajaanuntuk putuskan rantaian Covid19 ini.

Sebagai anak jati Sabah, saya amat risau memikirkan kesan wabak Covid19 ini kepada negeri ini. Mengikut data dari Jabatan Perangkaan Negara (2018), Sabah adalah antara negeri kedua tertinggi dari segi kadar pengangguran.

Jadi bayangkan kalau wabak Covid-19 ini berlarutan gara-gara ramai orang pentingkan diri sendiri. Jika ini berlarutan, kadar pengangguran Sabah pasti akan terus meningkat sebab banyak bisnes akan tutup kerana tidak mampu beroperasi sedangkan duit banyak banyak tapi tiada yang masuk.

Bantuan adanamun ketahanan sesebuah syarikat itu berbeza. Sekarang, satu-satunya harapan kita yang paling realistik ialah supaya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) cepat ditamatkan setelah rantaian jangkitan wabak Covid19 ni berjaya diputuskan.

Berbalik kepada persoalan asal, Adakah kita sedang mengalami kegawatan ekonomi? Jawapan saya ialah memang benar.  Hakikatnya, tanda-tanda yang menjurus kepada kegawatan ekonomi telah bermula sejak tahun 2018 lagi.

Sukar untuk menolak fakta bahawa ketidakstabilan politik merupakan antara faktor penyumbang. Malah ia merupakan antara salah satu faktor utama yang mampu mempengaruhi secara signifikan perkembangan atau penguncupan ekonomi sesebuah negara.

Baru-baru ini, Bank Dunia telah menyasarkan Malaysia akan mengalami pertumbuhan ekonomi (KDNK) negatif iaitu -0.1%.

KDNK Negatif

Bank Dunia menambah pertumbuhan Malaysia dan Thailand adalah antara yang bakal mengalami pertumbuhan palilng perlahan dalam tahun 2020 di Asia Tenggara.

KDNK negatif ini bermaksud keluaran hasil negara kita akan berkurang berbanding tahun 2019. Eksport pun akan berkurangan apatah lagi sektor pelancongan kita belum ada harapan untuk pulih selagi wabak Covid19 ini terus melebarkan jajahannya.

Sebab itu Bank Dunia meramalkan KDNK Malaysia akan jadi negatif. Tapi harus diingat, ini hanya ramalan saja.

Dalam pada itu, Pakej Rangsangan Ekonomi 1 (PRE1) telah diumumkan oleh PM Interim diikuti oleh PRE2 oleh Perdana Menteri sekarang iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun bantuan-bantuan yang diumumkan bagus (walau ada yang tidak puas hati), pakej ini mungkin hanya akan efektif untuk jangka masa pendek sahaja atau separa panjang. Kita menjangkakan kerajaan memerlukan satu lagi PRE khusus untuk jangka masa panjang sebagai persediaan mengharungi tahun 2020 ini.

Sukar untuk diramal bila keadaan ekonomi kita akan pulih kerana kadar ketidaktentuan pasaran sangat besar apatah lagi apabila ia dipengaruhi sepenuhnya oleh faktor wabak Covid19 ini.

Namun, kita yakin kepada kebijaksaan Kerajaan dalam menangani perkara ini. Yang paling mustahak sekarang ialah rakyat Malaysia mesti berganding bahu mematahkan jangkitan Covid19 ini terlebih dahulu.

Inilah langkah pertama ke arah memulihkan ekonomi Malaysia. Selepas itu, barulah boleh difikirkan cara dan kaedah selanjutnya untuk memulih dan menjana semula ekonomi negara.

PENULIS adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Sabah

(Visited 1,700 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button