Nasionalpilihan

Ribuan spesis ikan mati bukan berpunca sungai Melaka tercemar

Ribuan bangkai ikan yang mati di Sungai Melaka sejak dua hari lalu berpunca akibat perubahan ketara cuaca hingga menyebabkan air Sungai Melaka menjadi lebih cetek dan kemasukan air laut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, berdasarkan pemantauan pada Isnin lalu mendapati air laut didapati naik sehingga melebihi 14 kilometer (km) upstream menyebabkan pelbagai spesis ikan seperti talapia, keli dan haruan mati.

Kakitangan PPSPM menanguk pelbagai spesies ikan yang mati di Sungai Melaka berhampiran pejabat PPSPM Taman Rempah, Melaka.

Menurutnya, beberapa faktor lain yang menjadi punca seperti cuaca panas berterusan dan paras air menyusut menyebabkan kadar oksigen rendah di dalam sungai Melaka.

“Fenomena ini terjadi setiap tahun bermula dari Januari, Mac, April dan Oktober namun kadar kematian ikan hanyalah sedikit.

“Kematian ikan ini bukan akibat pencemaran tetapi disebabkan fenomena ini yang berlaku setiap tahun pada 21 hingga 23 April akibat perubahan ketara cuaca hingga menyebabkan air Sungai Melaka menjadi lebih cetek dan kemasukan air laut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat sungai Melaka di pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Taman Rempah di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertandingan memancing dan pesta masakan ikan sungai sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena ribuan ikan mati di Sungai Melaka.

Menurutnya, usaha tersebut secara tidak langsung akan menjadi tarikan baharu sempena Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024.

“Lebih baik kita lakukan sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat berbanding membiarkan ikan itu mati dan menjadi bangkai setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan memancing dan memasak ikan sungai itu akan diadakan sebelum bulan April tahun hadapan di sepanjang 5.4 kilometer Sungai Melaka Fasa 2 hingga Batu Hampar.

Katanya, ia juga sebagai antara kaedah dalam memastikan ekologi di Sungai Melaka terpelihara terutama daripada pencemaran bau amonia yang terhasil daripada bangkai ikan.

Semalam akhbar melaporkan ribuan ikan di sepanjang Sungai Melaka ditemui mati, dipercayai berpunca kekurangan oksigen akibat cuaca tidak menentu.

Sebanyak sembilan tong bangkai ikan seberat lima tan telah dibersihkan oleh kakitangan PPSPM kira-kira pukul 9.00 pagi semalam. – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button