fbpx
Nasional

Rakaman audio: Polis ambil keterangan 12 saksi termasuk Azeez Rahim

POLIS telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Datuk Mohd Roze Shaari berkata mereka yang telah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

“Kesemua mereka yang dikenal pasti dalam rakaman audio itu, telah diambil keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata keterangan bagi rakaman percakapan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, akan diambil dalam masa terdekat.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan satu rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.


Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, Dzulkifli, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Dalam perkembangan lain, Mohd Roze berkata pihaknya telah mengambil keterangan 15 saksi berhubung siasatan Akuan Berkanun (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

“Saksi-saksi lain yang telah dikenal pasti pula akan dipanggil, bagi melengkapkan siasatan sebelum permohonan Azilah untuk mengkaji semula hukuman matinya (difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dijadualkan didengar pada 20 April 2020),” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button