JenayahNasionalpilihan

JKDM Perlis patahkan trend baharu seludup ganja “berwajah” belacan, keropok

CUBAAN seludup ganja dari Thailand kini semakin mencabar pihak berkuasa apabila sudah mula dikesan berlakunya pengubahsuaian drastik dari segi saiz dan juga bentuk.

Kalau sebelum ini ganja yang diseludup adalah berbentuk konvensional iaitu persegi yang dimampatkan.

Terkini ganja yang diseludup sudah mula diubahsuai apabila “berwajahkan” makanan seperti “belacan” dan juga “keropok”.

Apabila berbentuk makanan, saiz lebih kecil dan mudah untuk diselitkan bersama makanan lain atau bagasi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ganja berbentuk “belacan” cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dipatahkan JKDM Perlis.

Bagaimanapun ganja “berwajah makanan” ini terbongkar hasil penahanan seorang lelaki yang kelihatan pada penampilannya dengan lagak “rileks” menolak beg beroda warna hitam ketika memasuki laluan pejalan kaki (import) dari arah Thailand di Pos Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Wang Kelian, Kaki Bukit, Perlis.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, anggotanya melakukan pemeriksaan ke atas bagasi suspek berusia 24 tahun yang merupakan seorang pengurus acara dan pemandu pelancong sambilan pada pukul 9.35 pagi, 21 Disember lalu.

Katanya, setiap bagasi di Pos Wang Kelian pula memang dilakukan secara manual kerana di situ tiada mesin pengimbas.

Ismail berkata, pada ketika itu bau ganja sudah mulai dikesan sekalipun suspek meletakkan pakaiannya pada bahagian atas untuk mengelak dari dikesan kerana membawa barang terlarang.

Ganja berwajah “keropok” dalam cubaan seludup dipatahkan oleh JKDM Perlis.

“Akhirnya pegawai bertugas menemui beg plastik lutsinar serta beg plastik hitam yang ditemukan ganja dalam bentuk makanan,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Padang Besar.

Beliau berkata, kesemua ganja yang ditemui ini adalah seberat 3.68 kilogram yang bernilai RM11, 408.

Ismail berkata, lelaki berkenaan dipercayai mendapatkan ganja berkenaan di Hadyai.

Tambahnya, suspek sanggup menggunakan pintu masuk Wang Kelian kerana yakin lebih selamat dari dikesan termasuk tiada mesin pengimbas.

Ismail berkata, suspek telahpun direman bagi dijalankan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di mana jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang dari 12 sebatan. – SM

Artikel berkaitan > Tiga lelaki direman berkaitan penemuan ganja 70 kilogram bernilai RM217,000

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button