EkonomiNegeriTravel

Raja Muda saran Terminal CIQ di Kuala Perlis dibuka semula

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar pembukaan semula Terminal CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) di Kuala Perlis dapat dipertimbangkan.

Ini adalah kerana Kuala Perlis pernah menjadi destinasi pilihan utama untuk mendapatkan bekalan dan keperluan asas dan makanan bagi masyarakat Melayu Muslim Thailand di sekitar Satun terutamanya dari Thamalang, Pulau Panjang dan Puyu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli bersama JKDM.

Sejak ditutup selepas Covid-19, kegiatan Ekonomi Mikro Kuala Perlis difahamkan menjadi perlahan.

Pembukaan semula Pintu Masuk ini akan sedikit sebanyak dapat membantu merancakkan kembali aktiviti Ekonomi Perlis khususnya di Kuala Perlis.

Masyarakat Melayu di Satun sebilangan besarnya juga mempunyai ikatan persaudaraan yang rapat dengan masyarakat di Perlis dan Kedah. Kuala Perlis telah menjadi Pintu Masuk utama bagi mereka untuk menziarah saudara mara dan kaum keluarga terutamanya bila berlalu kematian dan perkahwinan.

Baginda bertitah, pengusaha atau syarikat yang membuat perkhidmatan berkenaan boleh mengusulkan kepada pihak Kastam dan juga Imigresen permohonan ini dalam kadar segera.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi yang berkenaan dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kemaslahatan rakyat negeri Perlis khususnya dalam sektor ekonomi.

Tuanku Raja Muda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Santapan Bersama Tuanku Raja Muda Perlis selepas Program Kayuhan Peduli Bersama JKDM 2023 yang dianjurkan oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Taman Perumahan Kastam Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sazali Mohamad.

Turut hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Perkastaman), Datuk Aidit Tajudin, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Pengurusan), Nasaruddin Abdul Muttalib dan Penolong Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah.

Sazali dalam ucapan aluannya menyatakan, peranan dan tanggungjawab JKDM sebagai pentadbir cukai tidak langsung di negara ini tidak hanya untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ke atas perundangan semata-mata.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah sempena Kayuhan MAIPs Pesuli bersama JKDM.

JKDM juga berperanan untuk membantu pelanggan luar mendapat kefahaman yang baik berkenaan cukai sekali gus meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan mereka.

Pungutan Hasil JKDM sehingga 30 Julai 2023 adalah sebanyak RM 41.692 bilion di mana unjuran pungutan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2023 pula sebanyak RM52 billion.

“JKDM sangat komited dalam membuat penambahbaikan secara berterusan, khususnya bagi perkara yang melibatkan aspek perundangan, dasar mahupun polisi, antara semua pihak yang terlibat bagi mencapai hasrat serta meraih aspirasi program, sekaligus mencorak peningkatan ekonomi negara melalui perdagangan utama dunia”, tambah beliau lagi.

Raja Muda Perlis turut berkenan menyaksikan penyempurnaan simbolik penyerahan beras oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sazail kepada Ketua Unit Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Mohamad Najdi Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima cederamata daripada Sazali sempena Kayuhan MAIPs Pesuli bersama JKDM.

Pihak MAIPs menerima sumbangan beras sebanyak 515 kilogram dan akan disalurkan kepada para asnaf dan golongan yang memerlukan di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar para penjawat awam khususnya Jabatan Kastam DiRaja Malaysia akan terus berkhidmat dengan cemerlang bagi memastikan kutipan hasil negara dapat ditadbir urus dengan paling baik dan memastikan ketirisan hasil negara tidak sekali-kali berlaku. – SM

BACA Raja Muda alu-alukan kerjasama semua gerakkan pelancongan Perlis

BACA Agensi, syarikat swasta digalakkan majukan pelancongan Perlis

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button