NegeriSukan

Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa 2022 disertai 243 peserta

SERAMAI 243 orang peserta mewakili 19 buah pasukan dari negeri dan kelab-kelab di Semenanjung Malaysia dan sebuah pasukan dari Indonesia telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa 2022 dari 25 hingga 27 November lalu.

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri (MOTAC) Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs).

Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis l, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis pada petang semalam

Menyambut keberangkatan Baginda ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Norazman Othman dan Timbalan Presiden PWNPs, Zaharin Haris.


Dalam titah Baginda selaku Penaung PWNPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar kejohanan sebegini akan terus berkembang dan diperkasakan melalui pelbagai pertandingan woodball yang turut melibatkan negara jiran.

Selain itu titah Baginda, ia termasuk mempelbagaikan usaha meningkatkan taraf kesedaran sukan woodball seperti penganjuran pertandingan persahabatan, bengkel, kursus di seluruh negara dengan penyertaan yang lebih ramai lagi termasuk di peringkat remaja di masa hadapan.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, kejohanan sebegini wajar dijadikan acara tahunan yang berterusan setiap tahun dengan sokongan MOTAC untuk menarik pelancong dari luar negara, bukan sahaja untuk bertanding malah untuk melawat di negeri ini melalui pelancongan sukan.

Kejohanan kali ini telah mempertandingkan 12 jenis kategori dan dilangsungkan di tiga lokasi iaitu di Laman Woodball Kolej Matrikulasi Perlis di Arau, Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Arau dan Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra. – SM

(Visited 94 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button