fbpx
Politik

Rais ajak Tok Mat muafakat, biar kuasa sama digenggam

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Tan Sri Dr Rais Yatim mengajak Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bersama-sama merapatkan saf Perikatan Nasional.

Ajakan itu dibuat berikutan Mohamad semalam mencadangkan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk mengikut jejak Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong membubarkan Parlimen negara itu sekaligus mengadakan pilihan raya.

Rais berkata, Mohamad perlu bermuafakat secara elok agar kuasa yang ada dapat digenggam bersama. Beliau turut mengingatkan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu untuk  tidak lupa kedudukannya sebelum ini.

“Takkan terus nak ikut Singapura dalam perjuangan Malaysia adinda Tok Mat. Faktor-faktor keutamaan negara, kewilayahan, capaian, ke di-rajaan, ekonomi dan lain-lain berbeda langsung.

“Bersamalah dalam saf PN. Muafakat baik-baik biar kuasa sama digenggam. Jangan lupa siapa kita sebelum ini,” ciap Rais dalam Twitternya.


Mohamad dalam cadangannya kepada Muhyiddin berkata, pembubaran parlimen perlu dilakukan segera bagi memastikan Kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Anggota Dewan Udangan Negeri (Adun) Rantau itu berkata, sejak Merdeka Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti mana sekarang.

“Kemajuan, kemakmuran dan kebolehsaingan Malaysia sangat bergantung kepada kestabilan politiknya. Kestabilan politik akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial.

“Keadaan semasa sangat menyukarkan Kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapi waktu ini.
“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa Kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang,” katanya dalam satu kenyataan .

Hsien Loong, menasihatkan presiden republik itu supaya membubarkan Parlimen.

Ini berikutan keputusan beliau untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) selepas mendapati keadaan di negara itu sudah stabil untuk melaksanakannya, walaupun masih memerangi wabak COVID-19.

Pejabat Perdana Menteri Singapura, dalam satu kenyataan, berkata penamaan calon ditetapkan pada 30 Jun ini dan tarikh pengundian ialah pada 10 Julai ini, dengan tempoh kempen minimum sembilan hari.

Singapura perlu mengadakan PRU sebelum 2021, tetapi spekulasi bahawa ia akan diadakan lebih awal oleh Hsien Loong sudah lama diperkatakan.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button