fbpx
Politik

Lebih baik Muhyiddin ikut langkah PM Singapura bubar Parlimen

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin disarankan untuk tidak berlengah mengikut langkah Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang telah membubarkan Parlimen republik tersebut.

Menurut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, keputusan Hsien Loong membubarkan Parlimen adalah bagi memastikan kerajaan yang memerintah negara itu mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Mohamad berkata, keadaan politik semasa negara ketika ini sangat menyukarkan kerajaan Perikatan Nasional untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal.

Ini termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapi waktu ini.

Jelas beliau, kemajuan, kemakmuran dan kebolehsaingan Malaysia sangat bergantung kepada kestabilan politik.


Kestabilan akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial.

Justeru, Mohamad menegaskan, negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan. Menurutnya, keadaan politik yang dialami ketika ini bukan sesuatu yang sihat untuk negara.

“Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti ini sejak merdeka.

“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang,” kata Mohamad.

Jelas Mohamad, hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik.

Kerajaan yang stabil dapat menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari segala cabaran besar yang bersifat ‘unprecedented’ yang sedang kita hadapi.

“Negara ini adalah sebuah demokrasi berparlimen. Kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain. Apatah lagi pada blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik.

“Oleh yang demikian, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan bagi tanahair tercinta,” tegas Mohamad.

Dua hari lalu, Hsien Loong, menasihatkan presiden republik itu supaya membubarkan Parlimen.

Ini berikutan keputusan beliau untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) selepas mendapati keadaan di negara itu sudah stabil untuk melaksanakannya, walaupun masih memerangi wabak COVID-19.

Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, berkata penamaan calon ditetapkan pada 30 Jun ini dan tarikh pengundian ialah pada 10 Julai ini, dengan tempoh kempen minimum sembilan hari.

Singapura perlu mengadakan PRU sebelum 2021, tetapi spekulasi bahawa ia akan diadakan lebih awal oleh Hsien Loong sudah lama diperkatakan.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button