fbpx
Nasional

Ibu Ayah Usah Bimbang!

IBU, Ayah, serta waris pelajar, usahlah bimbang dan gusar, Insya Allah anak-anak kalian berada dalam keadaan baik dan selamat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).”
Demikian antara pesanan Naib CanSelor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad kepada waris lebih 750 pelajar yang kini menghuni Pusat Penempatan Sementara UniMAP di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah di Pauh Putra.


Menurut beliau, selain dipantau oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan sendiri, seramai 15 petugas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) turut berada di kolej kediaman untuk membantu menguruskan keperluan pelajar.

“Justeru saya menyeru kepada para waris supaya tidak lagi cuba untuk menguruskan pengangkutan balik pelajar dan pada masa sama juga tidak perlu membazirkan wang dan tenaga untuk dating menjemput pelajar di asrama.

“Biarlah mereka tinggal di asrama bersama rakan-rakan lain, dan UniMAP sentiasa memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar berada pada tahap terbaik,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Menurut Prof. R Badlishah, UniMAP kini merupakan antara tempat yang selamat memandangkan tiada lagi sebarang kes positif dilaporkan dalam kalangan wargaNya, justeru adalah menjadi harapan universiti agar waris dan keluarga mematuhi arahan kerajaan untuk kekal berada di lokasi masing-masing dalam tempoh tersebut.
Jelasnya, universiti juga sentiasa memastikan tahap kesihatan pelajar berada pada tahap memuaskan melalui pemantauan berkala yang dilaksanakan oleh warga kerja Pusat Kesihatan (PKU) UniMAP.
“Dalam keadaan sekarang kesemua warga kerja PKU masih komited meneruskan rutin bekerja harian mereka iaitu memberi perkhidmatan dan memantau tahap kesihatan pelajar yang masih berada di universiti setiap tiga hari sekali.


“Walaubagaimanapun, ibu bapa masih boleh terus menghubungi pelajar sama ada melalui talian biasa atau talian video untuk berkomunikasi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, jururawat PKU, Normiza Othman berkata, para petugas PKU seperti mana petugas kesihatan lain di luar sana terus komited melaksanakan tugas seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Kami akan melakukan saringan suhu secara berkala iaitu pada setiap tiga hari sekali bermula hari ini, 21 Mac pada jam 10 pagi tadi kepada semua pelajar dengan berkunjung dari bilik ke bilik mereka di kolej kediaman sepanjang tempoh kawalan ini bagi memastikan mereka bebas dari jangnkitan wabak Covid-19.



“Bagi mengurangkan kontak secara fizikal, pengurusan kerja dalam kalangan petugas pula dilaksanakan menerusi beberapa medium atas talian antaranya whatsapp dan telegram untuk berbincang perkara berkaitan dalam tempoh kawalan pergerakan ini.
“Walaupun terpaksa bertugas dan meninggalkan urusan keluarga kepada pasangan, kami di PKU sememangnya komited dalam menjalankan amanah ini demi kesejahteraan bersama, justeru saya juga seperti Naib Canselor UniMAP berharap para waris kekal tenang walau di mana sahaja berada.

BACA:  UniMAP cipta kepelbagaian aktiviti dalam cuti wabak COVID-19

Sementara itu, Yang Dipertua MPP UniMAP, Syahirunnisa Ramli meminta semua mahasiswa UniMAP yang berjaya pulang ke kampung halaman untuk sentiasa peka dengan tahap kesihatan masing-masing dan segera membuat pemeriksaan sekiranya mempunyai masalah kesihatan.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua rakan-rakan UniMAP dan seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi arahan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan iaitu sentiasa berada di rumah dan hanya keluar atas urusan yang mendesak bagi mengekang penularan COVID-19 ini.


“Terima kasih kepada pengurusan UniMAP yang tidak lepas tangan terhadap kebajikan bermula dari penghantaran pulang pelajar menggunakan bas khas sehingga ke aspek kebajikan pelajar yang kekal di UniMAP.
“Semoga semua warga PKU dan seluruh petugas barisan hadapan diberikan kesihatan yang baik dan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam menangani COVID-19 ini dengan kadar yang segera,” ujarnya lagi.

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button