Politik

Hadir program kementerian, Tun M nafi telah sokong kerajaan

AHLI Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan telah menjadi penyokong kerajaan selepas beliau hadir dalam satu majlis anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar semalam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dia hadir pada majlis yang turut dihadiri oleh menteri Datuk Dr. Abdul Latif kerana menghargai pihak swasta yang membantu penduduk Langkawi.

Beliau menegaskan kehadirannya itu tidak mempunyai kaitan dengan politik dan masih berada di pihak pembangkang.

“Sebagai MP, saya hadir ke acara anjuran @kplb_gov bagi menghargai pihak swasta yg bersama bantu rakyat Langkawi melalui agensi Kerajaan.

“Kehadiran saya tidak punyai kaitan politik sama sekali. Ini bukanlah bermakna saya sudah jadi penyokong Kerajaan. Saya masih dalam parti lawan,”ciap Dr. Mahathir di Twitter.


Perdana Menteri sebanyak dua kali itu hadir Majlis Penyerahan dan Penghargaan Rakan Strategik anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang berlangsung di perkarangan Majlid Al-Ehsan, Temoyong, Langkawi.

Jelas Dr. Mahathir sejak dahulu perjuangannya masih sama iaitu mahu menjayakan orang Melayu supaya tidak ketinggalan di negara mereka sendiri.

Sementara itu, Dr. Mahathir menegaskan, dia sentiasa berpegang dengan prinsip bahawa bantuan seharusnya tidak hanya sekada memberi wang secara percuma.

Namun sebaliknya,  mereka yang ketinggalan perlu diajar dan dibekalkan dengan kemahiran supaya mereka boleh berusaha untuk menjana pendapatan dengan kemahiran dan latihan yang diperoleh.

“Dengan itu mereka lebih bebas dan tidak terhutang budi atau terlalu bergantung kepada mana-mana pihak.

“Saya berterima kasih kepada syarikat-syarikat yang berusaha bantu membangunkan dan atasi masalah di Langkawi ini apatah lagi ketika pulau pelancongan ini menghadapi kesan dari wabak Covid19,” kata Dr. Mahathir.-SM

 

 

 

(Visited 225 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button