Rencah Hidup

Radzi iringi Raja Muda Perlis santuni asnaf

Kesempatan mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program kayuhan menyantuni asnaf di negeri Perlis memberi banyak manfaat dalam membantu masyarakat dan merapatkan ruang kepimpinan di antara agensi-agensi dengan pelbagai peringkat masyarakat.

Dengan penyertaan pegawai-pegawai dari pelbagai jabatan bersama masyarakat memudahkan lagi proses khususnya dalam sudut kebajikan dan bantuan yang boleh disampaikan kepada rakyat.

Demikian dikongsikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin selepas mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program ‘MAIPs Peduli Kali Ke 16 Bagi Tahun 2021’ yang bermula di perkarangan Maahad Tahfiz Al-Hikmah, Padang Siding semalam.

Sementara itu, apabila bercakap kepada mudir dan juga pelajar maahad tahfiz berkenaan, beliau menasihatkan bahawa dalam mencari ilmu ianya perlulah datang dari hati nurani setiap individu itu sendiri. Ia merupakan satu proses yang boleh memastikan ilmu-ilmu itu lekat dalam jiwa seseorang.

Pada kesempatan yang sama beliau juga menegaskan tentang SOP kerana telah banyak melawat sekolah-sekolah di seluruh negara. Dalam proses ini kita ingin memastikan supaya SOP ini sentiasa dipatuhi terutama sekali di dalam kelas dan juga surau.


Bersempena program tersebut Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 25 orang pelajar dari keluarga asnaf di maahad tahfiz tersebut dan juga turut singgah di Masjid Al-Mahsyur Padang Siding bagi menyampaikan bantuan MAIPs kepada 25 orang lagi asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid itu.

Pada malam sebelumnya Dr Radzi mengadakan kunjungan sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Raja Muda bagi mempersembah maklumkan hal ehwal pendidikan negara khususnya yang melibatkan negeri Perlis dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 di Istana Arau.

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button