HaiwanRencah Hidup

40 haiwan eksotik di “petting zoo” Syazlin Hafisya

MINAT terhadap haiwan eksotik sejak kecil serta ingin berkongsi ilmu pengetahuan mengenainya mendorong seorang lepasan Diploma Teknologi Digital membuka zoo mini haiwan jinak atau “petting zoo” bergerak.

Syazlin Hafisya Mohammad Hasni, 22, yang menetap di Kulim, Kedah berkata, mini zoo bergerak yang dibuka sejak 2016 itu kini menjadi sumber pendapatannya.

Menariknya, lebih 40 ekor haiwan eksotik yang dibawa Syazlin Hafisya ketika membuat pameran antaranya ular sawa, iguana, tupai tanah Afrika, sugar glider, tikus Belanda, naga air dan kala jengking. Semua adalah koleksi peribadinya.

“Semua haiwan ini dibeli di ‘pet shop’ dalam negara dengan harga sekitar RM100 hingga RM10,000 dan buat masa ini, saya memang menumpukan sepenuh masa terhadap perniagaan mini zoo dan penjagaan haiwan.

“Harga tiket hanyalah RM5 seorang dan tujuannya untuk mengajar dan mendidik orang awam mengenai haiwan eksotik,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata, semua haiwan itu disimpan dalam sangkar atau akuarium di rumah yang dilengkapi sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Katanya, meskipun haiwan peliharaannya tidak pernah dicuri namun ada yang mengalami kecederaan teruk akibat kecuaian pengunjung.

“Ada ular yang pernah cedera teruk selepas pengunjung tidak memegangnya dengan berhati-hati, menyebabkan ia terhempas ke lantai dan mengalami komplikasi tulang sehingga memerlukan kos rawatan sekitar RM2,000,” cerita Syazlin.

Syazlin Hafisya yang dikenali sebagai “Kakak Raptor” di laman sosial berkata, buat masa ini, beliau hanya mengadakan pameran jika ada jemputan seperti acara konvokesyen, program sekolah atau karnival di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

“Saya tidak keluar dari kawasan utara kerana fikirkan risiko terhadap haiwan. Jika travel terlalu lama boleh menyebabkannya stres, sakit atau mati,” ujar beliau.

Anak tunggal yang mempunyai minat serupa dengan ayahnya, Mohammad Hasni Hassan, 55, dan ibu, Salmiah Shaari, 48, berkata, perasaan cinta terhadap haiwan eksotik timbul sejak kecil selepas menonton dokumentari di televisyen.

Syazlin Hafisya berkata, cabaran utama adalah cuaca panas di Malaysia kerana kebanyakan haiwan berasal dari luar negara dan beliau perlu mengawal suhu serta kelembapan mengikut lokaliti asal haiwan.

“Contohnya, Chinchillas perlukan suhu di bawah 26 darjah Celcius. Jadi saya letaknya dalam bilik dengan pendingin hawa manakala untuk sesumpah, saya perlu kawal kelembapan agar ia tidak mendapat penyakit seperti jangkitan salur pernafasan,” jelas beliau.

Katanya lagi, beliau mempunyai lesen serta permit untuk membela dan mempamer haiwan eksotik daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kebanyakan haiwan eksotik memerlukan lesen dan proses mendapatkannya sangat mudah, hanya dengan membawa resit pembelian dan mikrocip ke Perhilitan dan ia akan siap dalam lima minit saja.

“Saya ingin nasihatkan orang awam jangan mudah percaya dengan ura-ura mengatakan Perhilitan sangat susah untuk berurusan, sekiranya hendak membela haiwan mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, lulusan Politeknik Seberang Jaya, Pulau Pinang itu turut menasihatkan mereka yang ingin membela dan memelihara haiwan eksotik agar mempelajari ilmu mengenainya.

“Rajin-rajinkan diri membuat penyelidikan dan belajar cara-cara membela haiwan tersebut sebelum membelinya kerana kekurangan ilmu boleh menyebabkan haiwan sakit dan mati,” katanya yang merancang membuka zoo mini statik kelak. – SM

BACA Harimau Malaya maut selepas gigit lengan pekerja Zoo Florida

BACA Rakyat negara ini perlu fahami erti zoonotik – titah Raja Muda Perlis

 

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button