Hiburan

Pelakon popular, Michelle Yeoh dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa

Aktres Hollywood kelahiran Perak, Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mengharumkan nama negara setelah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 menerusi filem Everything Everywhere All at Once itu dipilih selepas menerima 67 undian berbanding sembilan dengan satu berkecuali.

Beliau adalah salah seorang daripada lapan ahli baharu yang diundi pada hari terakhir sesi IOC ke-141 di Mumbai, India.

Beliau dan ahli baharu yang lain kemudiannya mengangkat sumpah Olimpik.

Aktres berusia 61 tahun itu yang ditemani suaminya, Jeon Todt yang juga bekas Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) selepas itu menerima pingat IOC daripada presiden, Thomas Bach.

Sebelum undian dilakukan, Puteri Britain, Anne yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan IOC memperkenalkan Michelle sebagai juara skuasy remaja Malaysia.

Sementara itu, Yeoh mula mencipta nama di Hollywood ketika beliau membintangi filem Bond “Tomorrow Never Dies” bersama Pierce Brosnan dan beliau mengukuhkan reputasinya menerusi filem seni mempertahankan diri “Crouching Tiger Hidden Dragon”.

Beliau diundi bersama pemenang pingat pertama Olimpik Israel, Yael Arad; ahli perniagaan dan Pentadbir Sukan Hungary, Balasz Furjes; pemenang pingat Olimpik dan ahli politik dari Peru, Cecilia Roxana Tait Villacorta dan usahawan sukan Jerman, Michael Mronz.

Kelima-lima mereka sebelum ini dicadangkan sebagai ahli individu oleh Lembaga Eksekutif IOC bulan lalu.

Ketua Persekutuan Pingpong Antarabangsa dari Sweden, Petra Soerling dan Presiden Kesatuan Meluncur Antarabangsa dari Korea Selatan, Kim Jae-youl turut dipilih selaras dengan peranan mereka bersama badan induk antarabangsa. – Agensi

(Visited 37 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button