Nasional

Purata pendapatan penduduk luar bandar meningkat

 

KUALA LUMPUR, 15 November – Purata pendapatan penduduk luar bandar di negara ini meningkat sebanyak 34.5 peratus dalam tempoh 17 tahun.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan pendapatan penduduk luar bandar daripada RM1,729 pada tahun 2002 kepada RM5,004 pada tahun 2019.

“Suka saya nyatakan bahawa, selain peningkatan dalam purata pendapatan, penduduk luar bandar juga mencatat peningkatan dalam aspek bekalan air di rumah yang telah meningkat daripada 74.7 peratus pada tahun 2000 kepada 84.9 peratus pada tahun 2019.
Ini adalah bukti bahawa usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah berjaya dan berhasil meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di luar bandar.”

Beliau berkata demikian pada majlis Sesi Libat Urus Menteri Pembangunan Luar Bandar bersama Ahli Parlimen Kerajaan Keluarga Malaysia Backbenchers Club (KKMBBC) di Bangunan Parlimen di ibu negara hari ini.


Mahdzir berkata, perangkaan turut mencatatkan liputan bekalan elektrik di luar bandar juga meningkat daripada 84.6 peratus pada tahun 2000 kepada hampir 99 peratus pada tahun 2019.

Data daripada Kementerian Komuninasi dan Multimedia (KKMM) pula menyatakan, capaian internet di luar bandar adalah sebanyak 83.9 peratus.

Mengenai Sesi Libat Urus KPLB bersama Ahli-ahli Parlimen, ia diadakan bagi memberi penerangan mengenai hala tuju dan perancangan pembangunan KPLB tahun 2022.

Ia merupakan salah satu inisiatif KPLB untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen terhadap program-program yang dilaksanakan.

Selain untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan program-program KPLB hasil dari pembentangan Bajet 2022.

Untuk rekod, KPLB telah diperuntukkan sejumlah RM10.53 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi tahun 2022.

Jumlah itu meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan RM7.01 bilion peruntukan pembangunan.

Peruntukan itu adalah RM345 juta atau 3.39 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2021.

Tambah Mahdzir, tumpuan KPLB juga terarah kepada program-program yang boleh meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar yang rata-ratanya terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19.

Ia selaras dengan matlamat Bajet 2022 “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” agar dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya isi rumah golongan miskin, miskin tegar, B40 dan masyarakat Orang Asli.

“Bagi tahun 2022, KPLB juga akan terus berusaha untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar, dimana program-program infrastruktur luar bandar akan diteruskan pelaksanaannya bagi memastikan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Program seperti Jalan Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa dan Program Ameniti Sosial akan diteruskan. Sebanyak RM2.44 bilion telah diperuntukkan untuk projek prasarana di luar bandar untuk tahun 2022,” katanya.

(Visited 65 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button