Nasional

Covid-19 : Yayasan Tuanku Syed Putra tangguh program libatkan pelajar

EKORAN daripada pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19 pihak Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menangguhkan ‘Semua Program’ dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Semua program ini melibatkan kehadiran serta penyertaan para pelajar sekolah samada menengah mahupun rendah di seluruh negeri Perlis yang belum lagi dilaksanakan pada tahun ini adalah ditangguhkan sehingga tarikh-tarikh baru yang akan dimaklumkan kembali kelak.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis melalui kenyataan Yayasan berkenaan yang ditubuhkan pada tahun 1986 dan mempunyai salah satu fungsi berupa ‘Untuk memperbaiki standard pelajaran dalam semua lapangan dan meninggikan taraf kehidupan rakyat negeri Perlis’ pada hari ini.

Gambar Fail

Hal ini juga adalah selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus pula, antara aktiviti utama yang telah diperkenankan oleh Tuanku Raja Muda Perlis untuk ditangguhkan adalah seperti ‘Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang’, ‘Kem Jati Diri’, ‘Motivasi Pembelajaran Cemerlang SPM’ serta ‘Penyampaian Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian dan Anugerah Khas SPM’ bagi tahun ini.

Turut ditunda ialah program ‘Titian Kasih Mega’ berslogankan ‘Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ bagi baki sebanyak lapan buah sekolah menengah lagi yang terdapat dalam kawasan parlimen Kangar.

Datuk Johari menambah bahawa Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat menghadiri kesemua program-program berkenaan yang diilhamkan sendiri oleh baginda berdua pada saban tahun sejak lebih sedekad yang lalu lagi.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar para pelajar di negeri Perlis terus menerus belajar dari rumah dengan menelaah buku-buku teks dan juga latihan ataupun secara online. Para pelajar boleh dibekalkan oleh guru-guru sekolah masing-masing dengan latihan, kerja rumah, tips-tips dan soalan-soalan secara berterusan.

Gambar Fail

Begitu juga dengan para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang sedang ‘direhatkan’ samada di rumah mahupun di tempat-tempat kediaman mereka di luar sementara menunggu untuk pulang ke Perlis atau para pelajar yang sedang menuntut di Perlis dan tidak pulang ke rumah masing-masing juga masih boleh mengadakan kelas secara dalam talian bersama pensyarah atau tutor dan juga berbincang secara maya dengan rakan-rakan.

Bagi guru-guru yang menjalankan kelas-kelas tusyen sebelum ini, mereka juga boleh kembali memberikan perkhidmatan kelas tusyen mereka menggunakan kreativiti serta kemudahan teknologi telekomunikasi bersesuaian kepada para pelajar secara langsung melalui atas talian, menggunakan email dan sebagainya supaya masa terluang pelajar di negeri ini dapat terus dimanfaatkan semaksimanya supaya kita tidak sesekali ketinggalan malah dapat menggunakan kesempatan ini untuk berusaha keras supaya lebih terkehadapan. – SM

(Visited 380 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button