Politik

Jangan Meniup Pipit, Sita Burung Semakin Lari

1. Kenyataan media Saudara Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung pertemuan Perikatan Nasional (PN)  dengan Perdana Menteri langsung tidak membantu partinya malah lebih merosakkan imej beliau dan imej PPBM.

2. Bahasa dan tuduhan “menipu” yang dilemparkan terhadap PM bukan sahaja tidak sopan, malah tidak benar. Bendahari PN, Datuk Seri Samsuri Mokhtar lebih cermat bila mengesahkan ada pertemuan yang turut melibatkan beliau seperti dijelaskan oleh Perdana Menteri. Tertib bahasanya juga jelas dalam menyatakan PN berhasrat menemui Perdana Menteri sekali lagi.

3. Harus diingat tiga daripada empat yang dikatakan wakil PPBM(DS Hamzah Zainudin,DS Azmin Ali,DS Takiyuddin Hassan,DS Syamsuri)adalah anggota jemaah menteri yang setiap minggu berjumpa dan bersama Perdana Menteri. Justeru pertemuan bukanlah sesuatu yang terlalu sulit dan perlu dihebohkan dalam media.

4. Pengerusi PN, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berjumpa Perdana Menteri baru-baru ini tanpa sebarang publisiti. Itulah sebaiknya.

5. YAB PM mungkin mempunyai sebab tersendiri kenapa beliau tidak mahu membesar-besarkan soal perjumpaan.

6. Fahamilah bahawa sebenarnya rakyat tidak suka bila pemimpin dilihat tidak habis-habis bercakap tentang jawatan tanpa mengira ketika dan keadaan. Memang benar, ia bukan satu kesalahan. Tetapi wajarkah soal kedudukan dan jawatan dibangkitkan ketika rakyat sedang bergelut untuk hidup berikutan kenaikan kos dan tekanan inflasi yang perlu diurus dan diberi keutamaan oleh kerajaan?

7. Saya percaya pertemuan antara pemimpin sering dan akan sentiasa diadakan. Dalam keadaan sekarang ini ia akan menjadi sangat afdal jika digunakan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah rakyat daripada dijadikan medan untuk menekan dan menuntut sesuatu yang tidak dialu-alukan oleh rakyat.

Dalam politik,bertindak secara berhemah dan penuh kebijaksanaan lebih berkesan dari semata mata mahu di lihat berani.

Artikel tulisan: Tan Sri Annuar Musa

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button