Nasional

PTPTN buka permohonan lanjut tempoh bayaran balik bermula esok

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka permohonan perlanjutan tempoh bayaran balik pinjaman berikutan wabak COVID-19 bermula esok hingga 31 Mac ini.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PelanjutanBayaranBalikCovid19 mulai 5 Januari 2021 sehingga 31 Mac 2021.

“Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan ketika permohonan.

“Pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan akan bermula pada bulan yang sama dengan kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Dasuki, kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.


Ujarnya, peminjam diingatkan mengemaskini maklumat perhubungan dan terkini bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan perlanjutan disampaikan kepada mereka.

“Mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan.

“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam yang terkesan akibat pandemik yang melanda,” jelasnya.

Tambahnya, untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim. -SM

(Visited 330 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button