Nasional

Cadangan pasar borong beroperasi hanya pada waktu puncak – Mazlan

3,127 anggota Polis Kuala Lumpur dikerahkan untuk Perintah Kawalan Pergerakan

DEMI memutuskan rantaian COVID-19, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mencadangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mengehadkan waktu operasi pasar-pasar borong.

Beliau berkata, cadangan ini adalah bagi membantu tumpuan orang ramai ke pasar-pasar.

Setakat ini, cadangan itu, kata Mazlan, belum melibatkan waktu yang sebenar sebaliknya kebenaran orang ramai untuk pergi ke pasar-pasar borong biarlah pada waktu pagi iaitu waktu puncak.

“Selepas waktu pagi atau waktu puncak, tidak perlu beroperasi atau dipendekkan waktu operasi,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di hadapan perkarangan Balai Polis Sri Murni, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Mazlan berkata, cadangannya turut meliputi mengehadkan bilangan pekerja di pasar-pasar borong.

Katanya, terdapat 440 gerai di pasar borong dalam satu-satu masa dan dalam keadaan sekarang yang tidak ramai bergerak keluar rumah, eloklah bilangan pekerja di gerai-gerai pasar borong, turut dihadkan.

“Mengehadkan bilangan pekerja dalam satu-satu gerai di pasar-pasar borong adalah bagi mengelakkan kontak.

“Biar ada social distancing atau jarak sosial antara mereka. Kalau terlalu ramai dalam pasar, dengan bilangan pekerja pun ramai dan pembeli, macam mana nak dibuat jarak sosial?,” soalnya.

Perintah Kawalan Pergerakan mengkehendaki orang ramai duduk di rumah bagi memutuskan rantaian COVID-19 agar wabak ini dapat dikekang daripada terus merebak.

Pada 19 Mac lalu, tular di media sosial, terlalu ramai pendatang asing di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, pihak Polis telah mengambil tindakan dengan mengawal keadaan di samping memaklumkan pada orang ramai untuk mengehadkan pergerakan atau duduk di rumah.

Menurut Mazlan lagi, dua sekatan jalan raya telah diadakan untuk memastikan tidak ada sesiapa pun yang boleh bergerak dengan bebas.

Tegas Mazlan, individu atau orang ramai yang tidak ada keperluan untuk bergerak atau berada di luar, sila duduk di rumah masing-masing.

Sementara itu, kata Mazlan lagi, polis telah menugaskan 10 anggota di kiri dan  10 anggota lagi di bahagian kanan di sepanjang pasar borong.

Kedua-dua pasukan atau team adalah digerakkan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul

“Pihak polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memantau keseluruhan kawasan dan akan menasihatkan mereka balik dan duduk rumah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur juga memastikan dan mengetatkan rondaan agar orang ramai duduk di rumah.

“Kita menggunakan Mpv dan Urv untuk membuat hebahan dan memastikan tindakan mengehadkan pergerakan ini berjaya dilakukan,” tegasnya.

Beliau berkata, pihaknya menugaskan empat pegawai dan 42 anggota dalam satu-satu masa manakala penugasan anggota polis pula dibahagikan kepada tiga syif yang melibatkan 138 orang anggota secara keseluruhan.

“Sekatan jalan raya pula, kita telah mengadakan 51 sekatan jalan raya di kawasan strategik untuk memastkan tiada siapa pun boleh bergerak bebas,” ujarnya.

Beliau berkata, ATM  turut membantu mengawal di sekatan jalan raya dengan kekuatan 420 pegawai dan anggotanya manakala sebanyak 3,127 pegawai dan anggota polis dikerahkan untuk menjalankan tugas.

Menjawab soalan pemberita, Azalan berkata, pihak polis turut membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencari mereka yang terlibat dalam tabligh di Masjid Sri Petaling untuk diberikan rawatan dan membuat saringan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami membantu KKM agar penyakit ini (COVID-19) tidak merebak,” katanya. – SM

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button