Hiburan

Promosi produk guna muka Awie tapi badan orang lain

SUDAHLAH gunakan nama Awie tanpa kebenaran, kemudian disunting pula dengan badan orang lain.

Perkara itu dedahkan penyanyi dan vokalis kumpulan Wings, Awie selepas dirinya digunakan sebagai bahan promosi sebuah produk syarikat jualan langsung (MLM) tanpa kebenaran.

Menurut Awie atau nama sebenarnya, Datuk Ahmad Azhar Othman, dia menyedari gambarnya digunakan tanpa kebenaran kira-kira sebulan yang lalu selepas dimaklumkan kenalannya.

“Gambar itu disebarkan kononnya saya mengamalkan produk tersebut padahal saya sendiri tidak tahu apa-apa.

“Saya tidak pernah diupah atau dilantik bagi memasarkan atau mempromosikan gambar tersebut. Malah, saya tidak pernah amalkan atau beri sokongan pada produk tersebut,” katanya dalam sidang akhbar virtual hari ini.

Menurut Awie, beberapa orang telah menghubunginya dan bertanya sama ada dia betul-betul terlibat dengan produk tersebut.

Malah, dia juga mengakui terkejut selepas melihat gambar yang digunakan itu telah disunting di mana mukanya dicantumkan dengan badan orang lain.

“Ini satu penipuan yang patut dibanteras dan tindakan undang-undang perlu diambil bagi menjaga semua pihak terutamanya selebriti lain yang turut terkena perkara sama.

“Sesebuah syarikat perlu ada garis panduan di mana gambar selebriti tidak boleh digunakan sesuka hati untuk tujuan promosi kerana perkara itu adalah satu penipuan,” katanya.

Sementara itu, peguam Awie, Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates juga memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat kepada syarikat tersebut.

Jelasnya, syarikat itu juga telah membalas surat tersebut dan membuat penafian berkenaan gambar Awie yang telah digunakan.

“Dalam surat tersebut juga kita telah meminta supaya semua gambar Awie yang digunakan melibatkan produk tersebut diturunkan.

“Namun, jika tiada sebarang tindakan diambil, kita akan berbincang degan Awie untuk mengambil tindakan selanjutnya,” jelasnya. -SM

(Visited 1,041 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button