Nasional

PLUS tutup lorong tambah nilai elak penularan COVID-19

PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menutup operasi tambah nilai di semua plaza tol kendaliannya dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19, bermula hari ini sehingga 31 Mac ini.

PLUS memaklumkan, penutupan itu antara strategi menjarakkan diri secara selamat dan mengurangkan risiko jangkitan antara kakitangan di plaza tol dan pelanggan lebuh raya.

“PLUS menasihatkan supaya pelanggan lebuh raya merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dengan menambah nilai Touch ‘n Go lebih awal di pusat tambah nilai yang disediakan di seluruh negara.

“Kemudahan tambah nilai antaranya menerusi Kiosk Layan Diri (SSK) yang terdapat di 67 lokasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih, mesin pengeluaran wang automatik, stesen minyak dan kedai serbaneka,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, PLUS memaklumkan semua R&R dibuka ketika ini namun terhad kepada perkhidmatan jualan makanan dan minuman secara bungkus sahaja, manakala ruang makan di tutup kepada orang ramai bagi mengelakkan pelanggan berkumpul.

PLUS turut mengingatkan pelanggan yang berhenti untuk membeli makanan di R&R supaya beratur dalam jarak satu meter antara satu sama lain dan hanya seorang wakil dari setiap kenderaan dibenarkan untuk keluar membeli makanan.

“Bagi pelanggan yang beragama Islam, PLUS menasihatkan supaya membawa sendiri kelengkapan beribadat seperti sejadah, kain pelikat atau telekung untuk bersolat di surau R&R,” katanya.

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button