Nasional

Total lockdown seluruh negara bermula Selasa depan

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi  fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Majlis itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin petang tadi.

Sepanjang tempoh semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

“Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin
meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebentar tadi.


Sekiranya lockdown fasa pertama berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, Kerajaan akan melaksanakan lockdown fasa kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

“Setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya diikuti fasa ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan,” katanya.

Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan susulan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

“Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Yang terbaik ialah duduk di rumah untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19,” katanya.-SM

(Visited 76 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button