Nasional

Petisyen gesa Maszlee kekal dapat lebih 230,000 tandatangan

SEBAIK sahaja Dr. Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan semalam, satu petisyen dalam talian telah dilancarkan.

Petisyen itu bagi mendapatkan sokongan supaya Maszlee kekal sebagai menteri berkenaan.

Sehingga pukul 7 pagi ini sebanyak 232,000 orang telah menandatangani petisyen tersebut.

Petisyen itu hasil inisiatif individu yang menggelar dirinya Tuah Kencana kerana menganggap keputusan Maszlee itu merupakan kehilangan besar kepada negara.

“Mewakili kumpulan masyarakat, kami memohon agar Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) sebagai negarawan terulung untuk mengembalikan Maszlee Malik untuk menggalas tanggungjawab sebagai menteri pendidikan,” kata kenyataan dalam petisyen tersebut.

Malah menurut  petisyen berkenaan, apa yang dilakukan oleh Maszlee sebagai Menteri Pendidikan dibayangi dengan laporan-laporan negatif  dan telah disensasikan oleh pihak berkepentingan.

“Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan telah berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang telah terbukti memberi manfaat kepada pelajar, guru-guru dan masyarakat.

Kementerian Pendidikan di bawah kemudi Maszlee telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan,” kata petisyen itu.

Petisyen itu turut menyenaraikan sumbangan Maszlee sepanjang tempoh singkat memegang jawatan berkenaan.

Antaranya, sifar sekolah daif, program sarapan pagi percuma, program pertukaran guru “suka sama suka”, penambahbaikan pendidikan untuk pelajar OKU, perkhidmatan Internet kelajuan tinggi, peningkatan program TVET dan menjaga kebajikan guru-guru.

Maszlee mengumum melepaskan jawatan Menteri Pendidikan semalam atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. – SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button