fbpx
JenayahNasional

Mangsa keenam tragedi bot karam ditemukan

MAYAT keenam mangsa tragedi bot terbalik dan karam dalam kejadian Isnin lepas ditemukan dalam keadaan terapung pada 4.19 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Samsulmuddin Sulaiman berkata mangsa dikenali sebagai Harun Daud, 57, dan mayatnya ditemukan pada kedudukan 21 batu nautika dari Jeti Pendaratan Ikan Kuala Kemasin.

“Pihak kami menerima maklumat daripada nelayan mengatakan telah menjumpai satu mayat sedang terapung di laut, dan sekitar 4.50 petang, pihak maritim tiba di lokasi dan telah mengesahkan menemukan satu mayat lelaki.

“Pada 7 petang tadi, setiba di jeti mayat berkenaan telah disahkan oleh anak lelaki mangsa yang berasal dari Padang Tok La, Pasir Mas,” katanya kepada pemberita di jeti itu.

Beliau berkata pengesahan mayat mangsa oleh keluarga adalah berdasarkan pakaian yang dipakai sebelum kejadian selain pemeriksaan terhadap mayat turut menemukan beg duit yang mengandungi kad pengenalan mangsa dan telefon bimbit.


“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasat.

“Sehingga kini, dua lagi mangsa iaitu Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40-an, belum ditemukan dan operasi akan diteruskan pagi esok,” katanya.

Dalam kejadian pada 8 malam Isnin itu, bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari jeti tersebut.

Selain Harun, lima mangsa yang disahkan maut ialah Ahmad Syafiq Che Alim, 30, Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta,

Dua lagi mangsa yang belum ditemukan ialah Arman Ismail, 43 dan Che Wadi Bakar, 40-an. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button