Nasional

Murid bekeperluan khas perlu isytihar kesihatan sebelum bersekolah

MURID Bekeperluan Khas (MBK) perlu mengisytiharkan status kesihatan mereka kepada pihak sekolah sekurang-kurangnya tiga hari sebelum sesi persekolahan bermula.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan mengenai garis panduan pengurusan MBK memaklumkan ibu bapa atau penjaga perlu membuat pengisytiharan kesihatan yang merupakan indikator menentukan tahap kesihatan MBK dan keupayaan penjagaan kesihatan kendiri.

“Berdasarkan pengisytiharan kesihatan berkenaan, pentadbir sekolah perlu memutuskan sama ada MBK boleh hadir ke sekolah atau sebaliknya,” menurut kenyataan itu.

Bagi MBK yang tidak boleh hadir ke sekolah kerana pengisytiharan kesihatan atau penggiliran akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah, bergantung pada keupayaan mereka dengan sokongan ibu bapa dan penjaga.

Menurut kenyataan itu MBK kurang upaya penglihatan yang tidak dapat hadir kerana pengisytiharan kesihatan, pihak sekolah boleh meminjamkan peralatan sokongan pembelajaran termasuk mesin braille, set cubarithm dan kalkulator bersuara.

“Bagi mereka yang tidak dapat hadir kerana penggiliran akan dibekalkan dengan bahan sokongan pembelajaran yang mencukupi seperti lembaran kerja dalam bentuk teks braille atau grafik taktil,” demikian menurut kenyataan itu.

 MBK, selain daripada kelas peperiksaan di sekolah pendidikan khas dan Program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI), akan memulakan persekolahan pada 15 Julai 2020, manakala MBK yang mengikuti Program Pendidikan Inklusif (Inklusif Penuh) tertakluk kepada tarikh yang telah diumumkan kementerian, semalam.

Dalam pada itu, antara garis panduan bagi institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat seperti pusat tuisyen dan pusat kemahiran.

Pusat kemahiran pula, IPS perlu memastikan semua pelajar, tenaga pengajar dan pekerja memuat turun aplikasi MySejahtera dan mendaftar masuk di aplikasi apabila memasuki premis.

IPS kategori berkenaan juga dibenarkan membuat penggiliran kehadiran pelajar sekiranya kapasiti ruang tidak mencukupi selepas mengambil kira penjarakan sosial dan dibenarkan untuk menggunakan premis tambahan dengan kelulusan tambah premis daripada Jabatan Pendidikan Negeri.

Sementara itu, antara garis panduan pengoperasian surau sekolah KPM pula, penggunaan  hanya dibenarkan untuk solat dan aktiviti PdP Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) namun hanya dibenarkan untuk murid, guru, warga sekolah dan individu termasuklah imam, bilal dan ahli jawatankuasa surau yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pelajar tingkatan satu hingga empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima dan enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini manakala bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai. – BERNAMA

(Visited 783 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button