Rencah Hidup

Pertandingan Minggu Fesyen Selangor 2020 sukses!

Pertandingan dianjurkan dalam talian menggunakan zoom

BUAT julung kalinya, Minggu Fesyen Selangor 2020 mengajurkan satu pertandingan yang disiarkan secara maya menggunakan pendekatan zoom malam tadi.

Kaedah penggunaan zoom menjadi pilihan pengguna dalam talian (online) bukan sahaja untuk mengendalikan mesyuarat tetapi juga boleh diguna pakai untuk penganjuran pertandingan.

Malam tadi, empat kateogri dipertandingkan yang bermula sejak April lalu iaitu sewaktu kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) gara-gara wabak Covid-19.

Pihak penganjur iaitu Dr. Jason dan rakannya, Nicole memberitahu wartawan SUARA MERDEKA yang dijemput untuk menyaksikan peringkat final (grand finale) malam tadi, mereka mengambil masa selama empat bulan untuk mengendalikan pertandingan tersebut sehingga ke malam tadi.

“Ini cubaan pertama kami dalam menganjurkan pertandingan Grand Final World Wide Selangor Fashion Show 2020.


“Kalau nak diikutkan, latar belakang kami adalah pengatur cara majlis fizikal, bukan dalam talian tetapi disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kami lakukan percubaan ini,” kata Nicole sambil disokong oleh Dr. Jason.

Kata Nicole lagi, apa yang membuatkan mereka terus bersemangat untuk meneruskan pengajuran pertandingan secara dalam talian ialah sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk nama-nama besar dalam industri fesyen negara seperti Bon Zainal yang sudi menjadi salah seorang juri pertandingan.

“Terus terang saya katakana bahawa kami berhadapan dengan macam-macam cabaran pada awal penganjuran pertandingan.

“Bermula pada bulan April kami buka untuk pendaftaran dan pada bulan Mei dan Jun adalah untuk memberi panduan dan latihan kepada para peserta pertandingan.

“Tidak dinafikan kunci kepada memberi latihan kepada peserta yang amatur ini ialah disiplin dan tidak ketinggalan, sokongan keluarga kepada peserta.

“Kami juga bersemangat apabila Pengasas Miss Malaysia Kebaya, Datuk Jason Hee, memberi kami motivasi yang tinggi dan tidak berputus asa untuk melihat pertandingan yang dianjurkan ini, membuahkan hasil,” kata Nicole.

Kata Nicole lagi, apa yang dilakukan oleh pihaknya adalah sebagai satu platform untuk mereka yang berada di luar sana kerana tidak diberikan ruang dan peluang menonjolkan bakat.

Empat kategori yang dipertandingkan malam tadi ialah Kategori Model Dewasa Wanita, Model Dewasa Lelaki, Model Kanak-Kanak (Perempuan) dan Model Kanak-Kanak (Lelaki).

Turut diumumkan malam tadi ialah kategori pemenang bagi Model Remaja (Wanita), Model Remaja (Lelaki), Kategori Ratu Cantik (Beauty Queen), Ratu Cantik Plus Size, Ratu Cantik Muslimah, Pengacara TV (Host) dan Pengacara Majlis (Master of Ceremony/MC) serta Kategori Bakat (Talent).

“Cabaran memang besar. Wang yang dilaburkan untuk mengajurkan pertandingan ini bukan sedikit kerana pelaburan dibuat ke atas teknologi, sistem bunyi, mikrofon dan sebagainya.

“Segalanya dilakukan menerusi zoom termasuk memberi latihan (training) kepada para peserta mengikut kategori yang mereka sertai.

“Latihan lebih kepada personal trainging dan itu yang menjadi faktor utama kerana ilmu yang diberikan itu, tidak dapat dinilai dengan wang ringgit,” kata Nicole ketika menjawab soalan, mengapa hadiah yang diberikan kepada para pemenang ialah sijil penyertaan dan trofi.

Sementara itu, Dr. Jason menambah, bulan pertama menganjurkan pertandingan berkenaan, mereka membuat penyelidikan sehingga ke Amerika Syarikat.

“Bulan kedua, kita tanya selok belok tentang Teknologi Maklumat (IT). Pertandingan ini bukan berkisar tentang duit tetapi lebih kepada pendidikan atau ilmu yang kita beri kepada setiap peserta pertandingan.

“Nanti kita akan anjurkan lagi pertandingan ini bagi musim kedua. Walaupun musim pertama ini kita tidak memperoleh sebarang keuntungan, untuk musim kedua, kita akan jemput Malaysia Book of Record untuk memahatkan pertandingan ini dalam buku itu,” katanya.

Mereka yang bertanding malam tadi bukan sahaja peserta dari dalam negara tetapi juga dari peserta dari negara jiran, Singapura dan Iran turut serta. – SM

(Visited 38 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button