fbpx
Politik

Perdana Menteri tidak terlibat urusan pembebasan anak tiri Najib

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tidak terlibat dalam persetujuan melepas dan membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz daripada tuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, persetujuan pembebasan anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dicapai oleh pihak pendakwaan dan tertuduh melalui represantasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

“YAB Perdana Menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini termasuk kes-kes berpofil tinggi,” kata kenyataan tersebut.

Riza Shahriz dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis lalu atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.


Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili pendakwaan, membacakan kenyataan kepada mahkamah, bahawa sejak tertuduh didakwa, beliau sudah beberapa kali mengemukakan permohonan representasi. Sri Ram berkata, selepas representasi itu diteliti dan dipertimbangkan, beberapa keputusan berjaya dicapai.

Katanya, melalui terma yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang bernilai jutaan ringgit.

Pembebasan Riza menjadi kontroversi apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz adalah atas pertimbangan dan dipersetujui beliau ketika masih memegang jawatan itu.

Tommy dalam satu kenyataan mendakwa dirinya diseret secara salah dan tidak adil ke dalam kes Riza Shahriz.

“Ini merujuk kepada kenyataan akhbar SPRM bertarikh 14 Mei lalu bertajuk ‘Persetujuan dilepas tanpa dibebaskan Riza Aziz, kerajaan bakal terima semula aset USD107.3 juta’.

“SPRM menyebut ‘Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas’. Ia adalah satu pembohongan,” kata Tommy.

Bagaimanapun Peguam Negara yang dilantik selepas tumbangnya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, Tan Sri Idrus Harun berkata, beliau dinasihat bahawa Tommy telah bersetuju kepada cadangan yang secara prinsipnya bagi penyelesaian terhadap pertuduhan pengubahan wang haram Riza Shahriz..

Idrus dalam kenyataan media berkata, keputusan bagi pendakwa memohon kepada Mahkamah Sesyen pada 14 Mei bagi pihak Riza diberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan juga dibuat selepas perbincangan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan peguam Riza.

“Saya telah dinasihati bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, selepas meneliti surat representasi, melalui satu minit bertarikh 19 Nov, 2019 telah memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, dan turut menyatakan berdasarkan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi itu.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Datuk Seri Gopal Sri Ram, setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangan-cadangan yang dinyatakan di dalam representasi itu diterima oleh SPRM.

“Saya juga telah dinasihatkan bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan itu. Ini telah membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil, diadakan,” katanya -SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button