Nasionalpilihan

Perdana Menteri terima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong, di Perdana Putra, di sini, yang menyaksikan kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan akrab mereka.

Ia adalah lawatan sulung Wong ke Malaysia selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura pada Jun 2022. Beliau tiba di Malaysia, kelmarin, untuk lawatan rasmi empat hari.

Pada pertemuan hampir sejam bermula jam 5.30 petang, Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada Wong atas pelantikan beliau.

Selain itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mengulangi komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Singapura, termasuk dengan menerokai bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.


Singapura merupakan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia selepas China, dengan nilai dagangan AS$29.85 bilion, dan sumber import kedua terbesar Malaysia juga selepas China dengan import berjumlah AS$18.45 bilion dari Januari hingga Julai 2022.

Dari Januari hingga Disember 2021, pelaburan Singapura di Malaysia ialah sebanyak AS$38.62 bilion, manakala pelaburan Malaysia di Singapura berjumlah AS$25.41 bilion bagi tempoh sama.

Dalam lawatan rasmi ke Malaysia, Wong turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara. – BERNAMA

(Visited 40 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button