fbpx
Nasional

Raja muda gesa siap siaga hadapi cabaran ekonomi pasca-COVID-19

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalakkan rakyat yang mempunyai akses dan kemampuan supaya mendalami kemahiran teknologi dan internet sebanyak mungkin sebagai sumber menjana pendapatan dalam bersiap siaga dari awal lagi bagi menghadapi sebarang keadaan ekonomi selepas ini.

Berikutan pandemik Covid-19, kebanyakan penganalisis ekonomi meramalkan kadar pengangguran di Malaysia serta peringkat global dijangka semakin meningkat dan peluang pekerjaan di dalam sektor-sektor tertentu juga akan semakin berkurangan.

Sehubungan itu, baginda bertitah inilah masanya untuk rakyat membuat persediaan awal dengan mencipta peluang-peluang pekerjaan sendiri antaranya dengan membina laman sesawang untuk diletakkan iklan bagi menawarkan perkhidmatan seperti tuisyen, reka bentuk melalui dalam talian dan seumpamanya.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat singgah di pusat pengagihan barangan makanan kepada lebih kurang 1,000 keluarga dari golongan yang memerlukan terpilih di negeri ini sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sumbangan Yayasan Kuok dengan kerjasama Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah dan sukarelawan dari kalangan warga kerja pejabat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang diadakan di Gelanggang Futsal Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar semalam.

Antara yang hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Pengurus Besar PKENPs, Hj. Norsiake Kassim dan Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perlis Ahmad Nizam Samsoo.


Kira-kira seramai 70 para sukarelawan dari beberapa gabungan NGO dan juga individu tampil bagi membantu menjayakan program fasa ke 2 yang diinisiatifkan oleh Tengku Syarif Laksamana dan Tengku Puan Laksmana Perlis tersebut. Pada minggu ke tiga bulan April yang lalu sumbangan fasa pertama telah diadakan melibatkan pengagihan kepada 1,389 keluarga penerima.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga memberikan contoh perkembangan semasa di mana, ramai pengguna memilih untuk membeli barangan secara dalam talian, bermain permainan komputer atau membaca buku digital bagi mengurangkan risiko terbabit ekoran penularan virus maut tersebut.

Banyak juga video-video menarik yang dihasilkan oleh para individu sepanjang tempoh PKP dan PKPB yang mendapat perhatian serta perkongsian ramai dan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan sumber pendapatan sampingan.

Menurut Tuanku Raja Muda, kecenderungan norma baru masyarakat dalam tempoh beberapa bulan ini menunjukkan hala tuju baru yang menuntut kepada kemahiran yang berkait rapat dengan teknologi digital dan internet dalam pelbagai sektor. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button