NasionalParlimen

Hukuman 100-150 jam Khidmat Masyarakat jika persenda OKU

JANGAN sekadar cadangan tetapi perlu dijadikan satu akta atau undang-undang supaya mereka yang suka mempersenda golongan orang kurang upaya (OKU) tidak lagi berbuat demikian.

Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada peringkat ini sedang meneliti cadangan hukuman 100 hingga 150 hari Program Khidmat Masyarakat dikenakan terhadap mereka yang mempersenda OKU.

Cadangan itu akan diperhalusi dan dirasakan sesuai dilaksanakan kerana Program Khidmat Masyarakat menggariskan tiga elemen utama iaitu hukuman, pemulihan dan penginsafan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusof di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Tambah beliau, kementerian akan meneliti lebih lanjut cadangan yang dilontarkan dalam proses semakan Akta OKU 2008.


Siti Zailah berkata, pihak kementerian memandang serius insiden mendiskriminasi golongan OKU terutamanya melalui penularan di media sosial.

Namun pewujudan remedi dan penalti yang munasabah bagi menangani isu itu memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan katanya.

Beliau berkata, bagi menangani perlakuan jenayah berkenaan, undang-undang yang terpakai di Malaysia adalah di bawah Seksyen 233 (1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Bagi cadangan penubuhan Suruhanjaya OKU pula, kata Siti Zailah, buat masa ini, sebarang bentuk aduan, rayuan dan petisyen berkaitan pelanggaran hak OKU boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan sistem perundangan lain yang sedia ada. – SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button