KebakaranNasionalNegeri

Rugi RM3 juta,10,000 pakaian hangus dalam kebakaran

SEORANG ahli perniagaan menanggung kerugian lebih RM3 juta selepas bangunan yang menempatkan semua barangan miliknya musnah dalam kebakaran di Kuala Terengganu, malam tadi.

Bangunan Seni Kayu Warisan yang menempatkan 10,000 pakaian seperti baju Melayu, jubah dan kurta, songket lama serta pelbagai ukiran kayu milik Burhan Ashari, 68, dipercayai terbakar kira-kira pukul 10 malam.

Burhan berkata, kejadian berlaku ketika dia keluar makan bersama tiga pekerja di sebuah sebuah restoran di Taman Tamadun Islam (TTI) yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi.

“Saya terima panggilan daripada pengusaha kedai makan berhampiran lokasi memberitahu mengenai kebakaran sebelum segera pulang.

“Sebaik tiba, saya dapati api marak membakar tingkat atas bangunan dan berusaha membawa keluar sebuah kereta milik saya, MG Rover dan tiga motosikal milik pekerja, namun gagal,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, bangunan berusia lebih 50 tahun itu dahulunya dijadikan bengkel dan perusahaan songket milik arwah ibunya sebelum diambil alih untuk dijadikan sebagai pejabat, bengkel dan pusat pameran seni ukiran kayu kira-kira 10 tahun lalu.

“Banyak bahan mudah terbakar di situ kerana bahagian atas adalah stor menyimpan kira-kira 10,000 pasang stok baju Melayu, jubah dan kurta, lebihan jualan Aidilfitri milik anak, Mohd Amir Imran, 36,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia beryukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu kerana tiga pekerja yang tinggal di bangunan itu keluar bersamanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menghantar 36 anggota dari empat BBP iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Jalan Kota dan Kuala Berang terbabit dalam operasi pemadaman.

Katanya, rumah jenis sementara kekal dua tingkat itu terbakar 100%. – SM

BACA Kebakaran memusnahkan tiga rumah kedai dua tingkat di Kuantan

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button