Politik

Agong bagi masa 24 jam lantik Perdana Menteri Ke-10, bentuk kerajaan baharu

SEHARI lagi tempoh diberi kepada ketua-ketua parti-parti politik untuk berbincang dan capai kata sepakat untuk melantik Perdana Menteri Malaysia Ke-10 dan juga membentuk satu kerajaan baharu, Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah hari ini menerusi kenyataan Istana Negara, ketua-ketua parti politik mempunyai masa sehingga pukul 2 petang esok untuk mengemukakan pencalonan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu.

Titah Baginda, susulan permohonan-permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik telah diterima hari ini.

Oleh itu, Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat negara ini agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Ke-10 selesai dijalankan.

Baginda turut mengingatkan semua pihak bahawa pentadbiran negara masih  berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri seperti yang digariskan bagi Kerajaan Sementara atau Caretaker Government.

“Semua rakyat  doakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia Ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara,” titah Baginda.

Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi dariapda sebarang bentuk bencara dan musibah.-SM

(Visited 565 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button