Nasional

Perbicaraan harta sepencarian arwah Jamaludin Jarjis bernilai RM1 bilion ditangguh

PERBICARAAN bagi menuntut harta sepencarian bernilai kira-kira RM1 bilion oleh balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya ditangguhkan ke 7 April ini.

Perbicaraan itu sepatutnya bermula hari ini.

Memetik laporan Kosmo Online, penangguhan itu dibuat oleh Hakim Syarie Haznita Hamidon selepas pihak-pihak memaklumkan terdapat beberapa dokumen berkaitan tuntutan tersebut masih belum dapat diserahkan dan ada dokumen yang baharu diterima hari ini.

Ketika ditemui selepas prosiding, Peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, memberitahu pihak plaintif baharu memfailkan dan menyerahkan pernyataan saksi yang mana pihaknya perlu menelitinya terlebih dahulu sebelum perbicaraan bermula.

“Ekoran kelewatan pemfailan dan penyerahan pernyataan saksi itu, saya yang mewakili  Puan Aminah yang merupakan defendan kelima, memohon kos sebanyak RM100,000 yang perlu dibayar oleh plaintif berdasarkan beberapa faktor antaranya usia defendan kelima dan kegagalan pihak plaintif memfailkan pernyataan saksi tujuh hari sebelum perbicaraan bermula.

“Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan kos tersebut selepas pihak plaintif membantah kos itu,” katanya.

Sebelum itu media yang membuat liputan hari pertama perbicaraan kes itu tidak dibenarkan memasuki mahkamah, namun hanya pihak-pihak terlibat dibenarkan masuk bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mahkamah ekoran Covid-19.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom berkata, pihaknya memfailkan pernyataan saksi plaintif dan menyerahkannya kepada pihak defendan hari ini, namun pihaknya bersedia untuk meneruskan perbicaraan hari ini.

“Kes ini akan mengambil masa yang lama dan kami masih belum memutuskan berapa ramai saksi yang perlu dipanggil selain Kalsom,” katanya.

Kalsom selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian pada Oktober 2018 dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan.

Antara tuntutan harta sepencarian itu antaranya hartanah di Malaysia dan luar negara serta beberapa saham dalam syarikat.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama-sama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pengawal peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

(Visited 309 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button