JenayahKemalangan

Penternak ikan didakwa bunuh wanita, 3 anak dalam nahas Bentong

BENTONG: Seorang penternak ikan hari ini didakwa di mahkamah majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang ibu dan tiga anak dalam kemalangan jalan raya di Bentong minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan majistret Shahrul Ekhsan Hasim, kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Fuad didakwa menyebabkan kematian suri rumah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, tujuh, dan Ahda Imtinan, lima, di KM2 Jalan Lebu-Felda Mempaga, pada 2.30 petang, 28 Jan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Shahrul menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula bagi mendapatkan hasil laporan bedah siasat mangsa dan laporan kimia tertuduh.


Turut di mahkamah sama, Fuad mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah, termasuk memiliki 0.75gm methamphetamine pada hari sama dan di tempat sama.

Tertuduh turut didakwa menggunakan dadah jenis methamphetamine pada jam 12.05 pagi, 29 Jan lepas manakala dia ditahan di pejabat bahagian siasatan jenayah narkotik ibu pejabat polis daerah (IPD) Bentong.

Tiada jaminan dibenarkan bagi kes dadah kerana tertuduh sudah pun menghadapi pertuduhan membunuh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

Pada 28 Jan lalu, media melaporkan kemalangan jalan raya tragis yang meragut empat nyawa termasuk tiga kanak-kanak selepas Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa tidak berhenti di lampu merah.

Mangsa dari Gua Musang, Kelantan, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga. Mereka dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

(Visited 203 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button